Wednesday, 31 March 2010

bharian: MEB tumpu pekerja miliki pelbagai kemahiran: Najib

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

Buruh asing murah berlebihan sekat pertumbuhan jangka panjang

KUALA LUMPUR: Model Ekonomi Baru (MEB) memberi penekanan terhadap mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing tidak berkemahiran, sebaliknya memberi tumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata pergantungan berlebihan Malaysia kepada tenaga buruh asing murah bertentangan dengan sasaran nasional bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan pertumbuhan jangka panjang.

“Bilangan pekerja asing meningkat disebabkan banyak syarikat terlalu memikirkan untuk mengurangkan kos bagi mengejar keuntungan jangka pendek.

“Dasar kerajaan perlu bergerak memperbetulkan penggunaan tenaga kerja asing secara berlebihan dalam bentuk yang boleh meningkatkan objektif pertumbuhan jangka panjang daripada memuaskan pertimbangan kos jangka pendek syarikat," katanya ketika mengumumkan MEB pada Persidangan Invest Malaysia 2010, di sini semalam.

Sehubungan itu, MEB mencadangkan dua pembaharuan, iaitu menguatkuasakan peraturan kerja setara bagi tenaga kerja asing dan tempatan serta menggunakan satu sistem levi bagi tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran mengikut keperluan sektor tertentu.

Pembaharuan itu juga akan menangani kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung layanan buruk terhadap tenaga kerja asing.

"Sistem levi yang lebih rasional dan penggunaan hasil daripadanya untuk membiayai perkhidmatan sosial bagi pekerja asing akan mengatasi kebimbangan berhubung kesaksamaan. Sebagai tambahan, dana itu akan digunakan bagi membiayai program yang boleh memacu amalan inovatif di kalangan firma Malaysia yang akan mengukuhkan tekanan bagi meningkatkan rangkaian nilai," katanya.

Laporan MEB juga merujuk kepada laporan Bank Dunia mengenai peningkatan dan lebihan bilangan pekerja asing dengan kos yang murah di Malaysia dan kemerosotan bilangan pekerja asing mahir antara 2000 hingga 2007.

Ia juga menjelaskan, perbezaan besar upah antara Malaysia dan negara asal tenaga buruh memberi keuntungan besar kepada agensi pengambilan tenaga kerja dan mewujudkan pelbagai bentuk penderaan, termasuk ejen menawarkan peluang kerja yang tidak wujud kepada pekerja asing.

Kos untuk mendapatkan khidmat pekerja asing adalah rendah kerana mereka tidak tertakluk dengan piawaian tenaga kerja yang sama dengan rakyat Malaysia dan tidak mempunyai akses perkhidmatan sosial seperti kesihatan yang kosnya ditanggung oleh kerajaan.



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...