Saturday, 27 March 2010

bharian: MEB tekankan peluang lebih saksama: Najib

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/26)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Model Ekonomi Baru (MEB) akan memberi penekanan kepada peluang yang lebih saksama agar setiap rakyat Malaysia berupaya merealisasikan potensi sebenar mereka sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengenal pasti sumber baru pertumbuhan, kedua-duanya dari segi dari mana punca pertumbuhan tersebut akan didapati serta meninjau pasaran baru.



Najib berkata, di bawah model ekonomi baru yang akan diumumkannya pada akhir bulan ini, akan terdapat penumpuan yang besar terhadap kreativiti dan inovasi. "Saya percaya inovasi adalah elemen yang sangat penting dari segi mentransformasikan Malaysia," katanya dalam entri blog 1Malaysia mengenai "Menjawab Komen – Model Ekonomi Baru".

Sambil menekankan bahawa terdapat beberapa prinsip penting dan langkah strategik yang akan mengukuhkan model ekonomi baru itu, Najib berkata satu faktor yang sangat penting ialah kemampuan sistem pentadbiran untuk menyampai dan bertanggungjawab kepada penyampaian.

"... maka dalam hal ini, ianya juga berkait dengan Program Transformasi Kerajaan yang berusaha untuk mentransformasikan negara dengan begitu pesatnya dalam enam bidang sasaran yang sangat penting," katanya.

Najib juga berkata, terdapat beberapa halangan sukar yang perlu diatasi.
"Contohnya, bagaimana kita boleh menghentikan kebergantungan kepada subsidi, supaya kita dapat menyalurkan lebih banyak sumber kepada pelaburan yang lebih produktif dan seterusnya meningkatkan pencapaian ekonomi dan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita.

"Namun pada masa yang sama tetap peka bahawa masih terdapat rakyat Malaysia yang bukan sahaja miskin tegar malah masih berada di bawah paras kemiskinan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu daripada elemen penting model ekonomi baru ini ialah menjaga kebajikan rakyat dengan meningkatkan atau mengukuhkan lagi benteng pemampan sosial.

"Paling utama, keseluruhan falsafah dan pendekatan model ini akan didasarkan kepada konsep 1Malaysia, tanpa melupakan bahawa setiap dan semua kumpulan etnik telah dan boleh memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menyumbang kepada Malaysia tetapi untuk mengukuhkan lagi perpaduan nasional, supaya kita boleh menjadi Satu Bangsa, Satu Negara, dijalin oleh satu wawasan," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...