Wednesday, 31 March 2010

bharian: MEB sasar pendapatan perkapita rakyat AS$15,000

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
40 peratus penduduk mendapat kurang RM1,500 sebulan

KUALA LUMPUR: Bahagian Kedua Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, mempunyai pelan hala tuju ekonomi negara yang lebih lengkap dan terperinci, termasuk mengenai pekerja asing.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata kerajaan sebelum ini bercadang mengurangkan jumlah pekerja asing, namun pelaksanaannya kurang berkesan kerana tiada perancangan komprehensif serta kurang insentif bagi menjayakannya.

“Sebab itu, kita perlukan rangka kerja yang komprehensif dan insentif yang mencukupi bagi menggalakkan pengurangan pekerja asing,” katanya pada sidang media Invest Malaysia 2010, di sini semalam.



MEB yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam bertujuan menjadikan Malaysia sebagai ekonomi maju dan berdaya saing dengan rakyatnya menikmati kualiti hidup serta berpendapatan tinggi hasil pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Menerusi MEB, kerajaan menyasarkan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global untuk manfaat rakyat dengan pendapatan perkapita meningkat kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad daripada AS$7,000 sekarang.

Amirsham berkata, ketika ini kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan dan Bahagian Pertama MEB yang dibentangkan semalam akan menumpukan terhadap meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenan.

Beliau berkata, MPEN percaya saranan yang dikemukakan dalam MEB berupaya membantu negara keluar daripada kekangan berpendapatan rendah untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Bagaimanapun kita mengingatkan bahawa tanggungjawab menjayakannya tidak hanya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya kesanggupan rakyat melaksanakan perubahan dalam persekitaran ekonomi yang bergerak pantas,” katanya

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...