Friday, 26 March 2010

bharian: MEB boleh lonjak pertumbuhan ekonomi lebih enam peratus

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/26)
EKONOMI negara ini mampu berkembang lebih kukuh tahun ini, melepasi paras enam peratus jika Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal diumumkan kerajaan minggu depan menyaksikan cadangan perubahan dasar dan pembaharuan yang berani dan ketara, kata Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif Institut Strategik dan Kepemimpinan Asia (Isis), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin.

“Jika dasar baru yang akan diperkenalkan itu nanti cukup ketara dan berani, ia akan mewujudkan keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negara ini.

“Untuk tahun ini, negara memerlukan dorongan baru bagi menarik lebih banyak pelaburan baru, sama ada dalam bentuk pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan pihak swasta. “Momentum itu diperlukan sekarang bagi membolehkan ekonomi negara mampu berkembang dengan sendiri untuk jangka panjang,” katanya pada forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia membincangkan isu berhubung laporan tahunan Bank Negara 2009 di Kuala Lumpur, semalam.

Selain Mahani sebagai pengerusi, ahli panel lain ialah Tan Sri Clifford Herbert, Dr Raja Lope Raja Shahrome dan ahli ekonomi Standard Chartered Asia Tenggara, Alvin Liew.

Mahani berkata, negara perlu menyediakan persekitaran lebih kondusif jika ingin menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara, dan salah satu cara ialah dengan membuat perubahan dasar.

Terdahulu pada sesi perbincangan, Liew berkata, Standard Chartered meletakkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.2 peratus tahun ini, jauh lebih konservatif daripada unjuran Bank Negara dan memberi amaran akan ketidaktentuan pada separuh kedua tahun ini kerana masih wujud banyak risiko, khususnya dari luar negara.
Beliau berkata, mengambil kira prestasi suku pertama negara kukuh beliau percaya arah aliran itu dapat dikekalkan dalam suku berikutnya selain berpendapat inflasi bukanlah sesuatu membimbangkan tahun ini.

Tetapi, katanya, inflasi mungkin akan menjadi isu pada 2011 dan menjangkakan Bank Negara akan membuat dua lagi perubahan dan penyelarasan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, pertama kepada 2.75 peratus dan berikutnya kepada 3.5 peratus.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...