Friday, 26 March 2010

bharian: Malaysia sedia tarik lebih pelaburan

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/26)
Pelaksanaan MEB dapat pacu ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) apabila kemahiran dan produktiviti yang lebih tinggi dicapai melalui Model Ekonomi Baru (MEB), kata dua tokoh Umno ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Hong Kong kelmarin.

Najib dijadualkan mengumumkan reformasi pentadbiran apabila memperkenal MEB minggu depan bagi memberikan penekanan kepada pelaksanaan model itu untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi berpendapatan tinggi dan memacu pembangunan ekonomi yang lebih pesat. Datuk Dr Norraesah Mohamad, yang meraih ijazah doktor falsafah dari Sorbornne University di Paris dan ahli biro ekonomi Umno, berkata kepada Bernama, negara ini memerlukan MEB bagi membebaskan diri daripada ‘belenggu pendapatan sederhana.’

“Perdana Menteri sememangnya berada di landasan yang betul. Tumpuan lebih besar MEB kepada usaha meningkat dalam rantaian nilai ekonomi dengan memikat dan mengekalkan bakat, serta penekanan kepada inovasi akan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

“Ini peringatan kepada kita, persaingan sengit daripada negara jiran dalam merebut FDI dan tumpuan dunia terhadap ekonomi lebih besar di Asia, iaitu China, India, Vietnam dan Indonesia (ekonomi CIVI), Malaysia menghadapi cabaran bukan saja dalam usaha menarik FDI, malah menarik bakat ke negara kita.

“MEB akan menangani ketidakseimbangan itu. Malaysia amat bergantung kepada modal, teknologi dan bakat dari luar negara, tetapi perlumbaan untuk sampai ke puncak semakin sukar disebabkan kuasa saingan, manakala lurah yang cerun semakin licin.

"Malaysia juga terperangkap dalam situasi yang sukar. Meskipun tahap pendapatan kita tidak tinggi, namun ia masih tinggi daripada ekonomi CIVI yang pantas berkembang dan mempunyai jauh lebih ramai penduduk. Justeru, bagi FDI, kita tidak lagi berdaya saing dari sudut harga," katanya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata sebahagian besar FDI pada masa lalu adalah dalam industri seperti pekilangan, kimia dan keluaran kimia, galian bukan logam, elektronik dan elektrik.

“Malaysia tidak lagi boleh berpuas hati dan mengharapkan ekonominya berkembang secara organik.

Jika terus berkembang pada kadar yang sama berdasarkan pendapatan rendah, ekonomi nilai rendah, tidak lama lagi kita akan dipintas negara jiran dan kita tidak dianggap sebagai ekonomi penting di Asia. Ini bakal membawa malapetaka bagi Malaysia," katanya.

Beliau berkata meskipun Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK yang kukuh, tahap pendapatan penduduknya amat rendah berbanding negara Asia Timur, menunjukkan pertumbuhan ekonomi tidak menghasilkan pendapatan bagi rakyat Malaysia.

Razali yang berkelulusan undang-undang, menegaskan walaupun Malaysia menyaksikan pertumbuhan pendapatan perkapita (PCI), berbanding negara lain yang mencapai paras pendapatan serupa dengan Malaysia 30 tahun lalu, seperti Korea Selatan dan Taiwan, ‘pertumbuhan pendapatan perkapita kita menyedihkan.’

Korea Selatan dan Taiwan hari ini menikmati PCI dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding PCI Malaysia.

“Malaysia terperangkap dalam belenggu pendapatan sederhana. Kita tidak dapat menawarkan buruh murah, tetapi kita belum boleh meningkat kepada kedudukan ekonomi yang lebih tinggi,” katanya. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...