Wednesday, 24 March 2010

bharian: Malaysia komited reformasi ekonomi

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)

Oleh Kamarulzaidi Kamis di Hong Kong
bhnews@bharian.com.my

Najib ajak pelabur asing manfaat insentif

DATUK Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan komited untuk terus melaksanakan reformasi ekonomi dan mengajak pelabur asing mengambil peluang disediakan untuk melabur di Malaysia.

Katanya, kerajaan juga berusaha untuk mengatasi apa juga masalah dari segi struktur ekonominya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. “Kami komited untuk melaksanakan reformasi dan menangani masalah struktur ekonomi Malaysia.

“Transformasi itu akan berterusan dan kami akan menjalin hubungan lebih rapat dengan pelabur asing supaya mereka faham dan menghargai pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis dialog makan tengah hari dengan lebih 100 pengurus dana dan pelabur institusi global pada Persidangan Pelaburan Asia 2010 anjuran Credit Suisse di sini, semalam.

Najib dalam lawatan pertamanya ke Hong Kong sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri tahun lalu, tiba di sini Isnin lalu, diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kerajaan sedang mengkaji untuk menstruktur semula pentadbirannya bagi menggalakkan pengaliran masuk pelaburan asing ke Malaysia.

Butiran terperinci mengenai penstrukturan pentadbiran itu yang dijangka diumumkan ketika pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB) minggu depan, adalah untuk memudahkan urusan pelaburan khususnya berkaitan pelabur asing.

“Perkara terperinci mengenai MEB akan diumumkan kelak dan saya ingin menegaskan bahawa reformasi pentadbiran itu akan menjadi kita lebih responsif kepada keperluan pelabur asing,” katanya.

Dalam usaha memantapkan lagi ekonomi, Malaysia sudah melaksana pelbagai perubahan struktur pentadbiran, termasuk melonggarkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), liberalisasi sektor perkhidmatan dan pasaran modal.

Bagaimanapun, kata Najib, perubahan itu masih tidak dihargai pelabur khususnya pelabur asing dan kerajaan sedang mengkaji untuk mengatasinya.

“Tujuan lawatan saya ke sini juga adalah untuk menceritakan keadaan di Malaysia, supaya ia dilihat sebagai destinasi pelaburan menarik. Saya memberitahu mereka bahawa ada prospek positif di Malaysia dan berharap pasaran akan memberi reaksi lebih positif.

“Apabila kami membentangkan MEB kelak, kami akan mencari jalan untuk mengimbangi antara keperluan domestik dan asing,” katanya.

Najib menjelaskan, melalui MEB, kerajaan akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) menerusi sokongan sektor swasta.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...