Monday, 8 March 2010

bharian: Logo halal mudah

Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my


GOMBAK: Status agama Islam bagi pengusaha industri berasaskan makanan dan pelancongan, termasuk restoran dan hotel, tidak akan dijadikan syarat wajib memperoleh sijil dan logo halal apabila rang undang-undang Akta Halal dibentangkan di Parlimen, pertengahan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata ini kerana kerajaan lebih mengutamakan aspek pengurusan makanan dan ramuan digunakan di premis berkenaan berbanding status pemiliknya sama ada Islam atau pun tidak.

“Walaupun ada negara seperti Taiwan mewajibkan premis dimiliki orang Islam sebagai syarat perolehan sijil halal, di Malaysia sebaliknya peraturan itu belum boleh dilaksanakan.

“Kita bimbang jika syarat itu diwajibkan di hotel misalnya, mewujudkan budaya saing yang tidak sihat.

“Isu utama bukan siapa pemiliknya, tetapi bagaimana pengurusan makanan itu dikendalikan dan serta isi kandungan makanan itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa di sini, semalam.

Beliau mengulas kemungkinan mewajibkan hanya pengusaha beragama Islam dibenarkan memperoleh sijil dan logo halal berkenaan.

Ketika ini, antara syarat mendapatkan sijil dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah premis berkenaan perlu menggunakan khidmat sekurang-kurangnya dua tukang masak Muslim.

Jamil berkata, industri makanan halal memiliki potensi sangat besar dan kerajaan giat menjadikan Malaysia hab produk halal global. Berikutan itu, peman-tauan dan pemberian sijil dan logo halal akan kerap dilakukan.

Beliau turut memuji tindakan Jais kelmarin yang mengharamkan penggunaan sijil dan logo halal yang dikeluarkan enam syarikat swasta.

“Apabila Akta Perihal Dagangan 1972 dipinda Jun ini, hanya satu badan mengeluarkan sijil dan logo halal, Logo halal Malaysia yang membolehkan kes-kes pemalsuan sijil dan logo halal dapat ditangani,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, Jakim menerima 1,907 permohonan mendapatkan sijil halal daripada 622 Bumiputera berbanding 1,285 bukan Bumiputera. Kelulusan sijil halal pada tahun yang sama diberikan kepada 301 pengusaha Bumiputera dan 886 bukan Bumiputera.

(Sumber dari Berita Harian, 07/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...