Tuesday, 30 March 2010

bharian: IPTA disaran komersial R&D, kepakaran

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

MOHAMED Khaled mendengar penerangan hasil R&D bunga orkid sambil diperhatikan Dr Nik Mustapha selepas pelancaran Taman Sains Putra di UPM Serdang, semalam.

SERDANG: Semua universiti awam perlu menjana pendapatan tahunan antara 15 hingga 25 peratus dengan mengkomersialkan khidmat pakar perunding serta hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), tanpa hanya mengharapkan yuran pelajar atau peruntukan kerajaan semata-mata.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata R&D dan kepakaran di setiap universiti harus diterjemahkan kepada infrastruktur yang boleh diguna pakai pengusaha atau sektor industri bagi meraih keuntungan.



“Ada beberapa universiti yang kini sudah mampu menjana pendapatan tahunan 30 peratus, tetapi masih banyak lagi yang hanya sekitar 10 hingga 20 peratus dan kita mahu galakkan mereka menambah kadar ini.

“Kita belum menetapkan kadar tertentu sebagai sasaran, tetapi sebaliknya akan menilai keupayaan, kepakaran dan mutu R&D setiap universiti sebelum memutuskan peratusan pendapatan yang munasabah untuk mereka capai.

“Kementerian saya juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkan pensyarah menawarkan khidmat pakar perunding dengan mengenakan bayaran menyamai yuran juru runding swasta,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Taman Sains Putra di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh.

Mohamed Khaled berkata, UPM umpamanya menerima peruntukan tahunan kerajaan RM500 juta, malah di sesetengah universiti seperti Universiti Malaysia Perlis (Unimap), peruntukan tahunannya melebihi peruntukan belanjawan tahunan negeri berkenaan.
Jelas beliau, kementeriannya tidak akan mengurangkan peruntukan tahunan universiti yang mampu menjana pendapatan tinggi, sebaliknya mereka akan diberi insentif berasaskan pencapaian masing-masing.

“UPM umpamanya memperoleh RM20 juta hasil mengkomersialkan R&D, tidak termasuk pendapatan yang dijana menerusi khidmat pakar perunding. Masih ramai pensyarah kita yang rasa segan untuk menghebahkan penemuan masing-masing.

“R&D di universiti harus lebih rancak dan diguna pakai secara meluas dalam industri tempatan jika negara mahu pembangunan ekonomi terus mapan dan kekal berdaya saing pada persada global,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohamed Khaled, kementeriannya sudah mengenal pasti enam pusat penyelidikan daripada 150 pusat yang dipertimbangkan, untuk diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) Khamis ini yang diharap dapat melonjakkan R&D dalam sesebuah universiti.

Mohamed Khaled juga mengunjurkan akan ada 20 HICoE menjelang 2020 yang mengendalikan R&D berkeupayaan memberi nilai tambah kepada negara masyarakat dan memenuhi tahap kelayakan tertentu.

Sementara itu, Nik Mustapha, dalam ucapannya berkata, Taman Sains Putra akan berperanan sebagai komuniti ilmuan yang menjadi penghubung antara golongan akademik, entiti perniagaan atau industri serta masyarakat umum, dan UPM setakat ini berjaya mengkomersialkan 20 teknologi dengan kerjasama syarikat swasta merangkumi produk baja pertanian, vaksin, kejuruteraan, kesihatan dan lain-lain.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...