Monday, 8 March 2010

bharian: GST: Cukai pendapatan individu, korporat akan dikurangkan

CUKAI pendapatan individu dan korporat akan dikurangkan secara beransur-ansur apabila Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung.

"Ia adalah objektif jangka panjang kerajaan. Sebaik GST dilaksanakan, ia akan menjadi asas percukaian yang meluas.

"Arah alirannya, ialah sebaik GST dilaksanakan, cukai pendapatan individu dan korporat akan dikurangkan secara beransur-ansur," katanya kepada media selepas merasmikan Dialog Dasar Alumni PTD mengenai GST di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai sama ada tempoh masa tertentu yang ditetapkan bagi tujuan itu, beliau berkata: "Saya tidak fikir kita menetapkan tempoh tertentu untuknya."

Chor juga berkata, perniagaan yang berkaitan dengan perkhidmatan kerajaan seperti makanan dan pengangkutan, dikecualikan daripada GST.

Timbalan Menteri itu juga memberi jaminan bahawa kos hidup dan gaya hidup rakyat tidak akan meningkat dan terjejas apabila GST dilaksanakan.

Beliau berkata, pelaksanaannya juga tidak akan menyebabkan inflasi.

"Apabila GST dilaksanakan, cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada akan dimansuhkan. Kedua-dua cukai itu yang masing-masing adalah pada 10 peratus dan lima peratus, adalah tinggi.

"Sebaliknya GST pada kadar empat peratus dianggap sangat rendah," katanya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sebelum ini membayangkan walaupun

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, ia tidak akan menekan harga, malah mengurangkan beban pengguna, dengan makanan utama seperti beras, gula, minyak masak dan tepung, akan dikecualikan (daripada GST).

Rang Undang-undang GST dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen Disember lalu. Bacaan kedua dijangkakan pada sesi Parlimen bulan ini. ? Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 05/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...