Tuesday, 30 March 2010

bharian: Generasi baru diminta timba pengalaman pemimpin lama

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

PUTRAJAYA: Pemimpin generasi baru perlu menimba pengalaman daripada pimpinan terdahulu untuk mempersiapkan diri dengan ilmu supaya mereka dapat meneruskan kesinambungan kepemimpinan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata interaksi antara dua generasi itu juga penting bagi memastikan golongan muda belajar daripada sejarah supaya mereka tidak mengulangi kesilapan pemimpin terdahulu.



"Sekiranya kita mahu menentukan tidak ada tindakan yang merugikan, kita harus tahu apa yang berlaku sebelum ini supaya dapat ditentukan apa yang harus dikekal dan apa harus digugurkan.

“Kalau tidak tahu sejarah perjuangan bangsa, negara dan pemimpin, generasi muda mungkin akan mengulangi kesalahan (generasi lama). Inilah pentingnya hubungan secara rasmi dan tidak rasmi antara generasi lama dan baru," katanya sambil berseloroh beliau juga pernah melakukan kesilapan dalam melantik timbalannya yang perlu dijadikan pengajaran golongan muda.

Dr Mahathir berkata, demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Bicara Negara bersama beliau yang dihadiri 54 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di sini, semalam.

Beliau berkata, generasi muda juga harus mempelajari dan memahami sejarah negara serta sumbangan diberikan pemimpin lama untuk membangunkan negara.

"Pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun V T Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin... mereka ini membangunkan negara sehingga menjadi kaya dan memberi peluang kepada generasi muda untuk mendapat ilmu sehingga ke peringkat universiti sekali gus mencerahkan masa depan masing-masing.

"Kita harus ingat sejarah dan mereka yang menyumbang kepada kedudukan kita hari ini... ia adalah hasil usaha pemimpin berpandangan jauh untuk negara dan hasilnya dapat dinikmati generasi baru," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...