Wednesday, 31 March 2010

bharian: Gagasan 1Malaysia perlu dijamin tak gugat Islam Melayu

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
SEORANG Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam, mahukan jaminan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menggugat kedudukan Islam, orang Melayu dan Raja-raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata menerusi gagasan yang berslogankan `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', kerajaan perlu memastikan hak dan keistimewaan masyarakat Melayu tidak diganggu gugat tanpa menjejaskan usaha pembelaan terhadap masyarakat Cina dan India yang memerlukan.



“Masih ramai orang kampung yang miskin, yang masih perlukan pembelaan kerajaan BN, kita tidak memilih bulu, warna kulit, bangsa dan agama.... 1Malaysia adalah gagasan yang baik dan dialu-alukan semua pihak.
“Pada masa sama, saya ingin memberitahu Perdana Menteri dan kerajaan supaya mempertahankan kedudukan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Kedudukan Raja dijaga, jangan biar mana-mana pihak menghina, mempersenda institusi Raja-Raja, kedudukan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi, agama Persekutuan terpelihara.

“Kita juga tidak mahu mana-mana golongan mempolitikkan agama untuk kepentingan politik sempit, " katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Selain itu, Tajuddin juga mahu kerajaan mempertahankan pendirian dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam dengan memastikan kalimah itu tidak digunakan secara sembarangan sehingga boleh menjejaskan akidah di kalangan generasi muda.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...