Wednesday, 31 March 2010

bharian: EU, tiga IPT tempatan jalin kerjasama

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi melancarkan projek ‘MYEULINK’ membabitkan kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dengan tiga universiti tempatan untuk menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

Bagi menjayakan projek itu, EU menawarkan dana RM2.5 juta (575,000 euro) untuk ketiga-tiga universiti terbabit, iaitu Universiti Malaya dalam bidang undang-undang dan politik, Universiti Putra Malaysia (perniagaan dan ekonomi) dan Universiti Malaysia Sabah (sejarah dan media).



Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program kerjasama itu memberi penekanan kepada pengetahuan dan kefahaman mengenai EU dalam konteks kerajaan, swasta, media, badan bukan kerajaan dan ahli akademik serta pihak berkepentingan dalam memperkasakan hubungan antara Malaysia-EU.

“Projek itu juga bertujuan memperkasakan hubungan dan dialog Malaysia dan EU dalam bidang pengajian tinggi,” katanya selepas melancarkan program kerjasama itu di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Vincent Piket.
Mohamed Khaled berkata, selain IPTA program kerjasama itu juga akan membabitkan University of Nottingham, Kampus Malaysia yang akan bertindak sebagai sekretariat untuk melapor dan mengawal kewangan dana berkenaan.

Selain itu, sebuah lagi universiti dari Eropah, University of Maastrich (MAA) akan berperanan menyediakan tenaga pengajar dalam bidang perniagaan, media dan sejarah.
Beliau berkata, kerjasama juga akan turut membabitkan tiga lagi institusi tempatan iaitu Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia , Petronas dan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...