Wednesday, 31 March 2010

bharian: Dasar baru mampu tingkatkan pelaburan pelbagai aspek

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
KUALA LUMPUR: Model Ekonomi Baru (MEB) mampu menarik dan meningkatkan pelaburan negara dalam pelbagai aspek, khususnya membantu merangsang semula sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat kemelesetan ekonomi global.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, berkata ia satu lagi pembaharuan dalam membela masyarakat perniagaan dan perindustrian, khususnya Bumiputera. “Kami melihat hala tuju MEB ini dalam menaik taraf dan membawa masyarakat perniagaan ke peringkat lebih jauh (global). Ia ternyata memberi impak besar kepada lebih 2,800 ahli kami yang rata-ratanya pekilang kecil,” katanya semalam.

Bagi mengukuhkan lagi MEB, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan lebih banyak insentif untuk sektor halal dalam usaha meningkatkan dagangan produk halal susulan permintaan tinggi dari Asia Barat.



Katanya, ketika ini PPIPBM mewujudkan lapan pasar raya di Dubai yang diuruskan syarikat dilantik persatuan dan merancang meneroka pasaran Afrika Selatan kerana permintaan produk halal yang ketara dari negara itu.

Presiden Dewan Perdagangan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljefri, berkata MEB menggariskan beberapa faktor fizikal dan isu penting yang diperlukan untuk meneruskan agenda pembangunan di Malaysia serta menjadikan negara ini sebagai kuasa ekonomi baru rantau ini.

“Yang lebih penting Perdana Menteri mahu rakyat semua kaum menjana kebolehan masing-masing. Mereka yang berkebolehan ini perlu tampil dan menyertai pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya bersetuju dengan usaha menggalakkan syarikat tempatan melabur di luar negara dan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai model terbaik untuk diikuti syarikat lain. Malah, pelaburan ke luar negara memberi lebih banyak peluang,” katanya.

Presiden Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia, Datuk Nicholas Zefferys yang juga Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), berkata MEB adalah langkah penting bagi mengubah nasib generasi masa depan dan disifatkan sebagai kejayaan bagi Malaysia untuk mencapai perubahan.

"Ia merangkumi pelbagai perkara termasuk membuka ekonomi Malaysia memandangkan terlalu banyak campur tangan kerajaan. Kerajaan juga mahu membawa keluar masyarakat daripada terperangkap dalam pendapatan rendah untuk menjadi kelas pertengahan.

“Dalam konteks pelaburan asing, saya percaya ia akan menarik pelabur ke Malaysia dan Perdana Menteri mahu perubahan ini berlaku pantas,” katanya.

Penasihat Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Wawasanita), Datuk Jamilah A Bakar pula yakin MEB mampu melonjakkan ekonomi negara ke tahap berpendapatan tinggi demi memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...