Monday, 29 March 2010

bharian: Dana RM60j lahir usahawan siswazah

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/29)

Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my

PUNB bantu graduan mulakan perniagaan

PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan RM60 juta bagi membantu melahirkan usahawan baru daripada kalangan siswazah, termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan terbabit untuk memulakan perniagaan.

Ketua Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata daripada jumlah itu, RM50 juta adalah peruntukan disediakan kerajaan menerusi pakej rangsangan kedua bagi melatih 2,000 siswazah di bawah Program Siswazah Perantis, manakala RM10 juta lagi untuk Skim Prosper Siswazah. Katanya, satu daripada tumpuan PUNB tahun ini adalah menggiatkan usaha untuk melahirkan usahawan baru daripada kalangan lepasan ijazah menerusi insentif dana tambahan RM50 juta yang disediakan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi.

Beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan dari Mei hingga akhir tahun lalu, seramai 1,059 usahawan baru sudah dilatih dan program berkenaan akan diteruskan tahun ini.

“Selain menambah bilangan perantis yang akan diberi latihan, kami juga anggarkan kira-kira 20 peratus atau 400 perantis yang sudah mengikuti latihan akan memulakan perniagaan sendiri menerusi sokongan PUNB bersama rakan niaga kami,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program Siswazah Perantis PUNB adalah program latihan sangkut yang dimulakan Mei 2009, bertujuan menggalakkan penyertaan siswazah dalam bidang peruncitan dan pengedaran, pada masa sama mengurangkan pengangguran.
Menerusi program itu, perantis ditempatkan di syarikat di bawah seliaan dan usahawan PUNB bagi menjalani latihan keusahawanan.

“Apabila tamat latihan, kami berharap perantis terbabit menceburi bidang perniagaan dan mendapatkan pembiayaan di bawah skim Prosper Siswazah yang diperkenalkan sejak 2005,” kata Mohd Nasir.

Jadual latihan boleh dirujuk menerusi laman web www.punb.com.my.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...