Thursday, 4 March 2010

bharian: Cukai pendapatan, korporat dikurangkan selepas GST

KUALA LUMPUR: Cukai pendapatan dan korporat akan dikurangkan secara beransur-ansur, sebaik cadangan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

"Ia adalah objektif jangka panjang kerajaan. Sebaik GST dilaksanakan, ia akan meluaskan asas percukaian.

"Trendnya sekarang ialah sebaik GST dilaksanakan, cukai pendapatan dan korporat akan dikurangkan secara beransur-ansur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Dasar Alumni PTD mengenai GST di sini hari ini.

Ditanya sama ada tempoh masa tertentu ditetapkan, beliau berkata: Saya tidak fikir kita menetapkan tempoh tertentu untuknya."

Chor juga berkata perniagaan yang berkaitan dengan perkhidmatan kerajaan seperti makanan dan pengangkutan, dikecualikan daripada GST.

Timbalan Menteri itu juga memberi jaminan bahawa kos hidup dan gaya hidup rakyat tidak akan meningkat atau terjejas, meskipun GST dilaksanakan.

Beliau berkata, pelaksanaanya juga tidak akan menyebabkan inflasi.

"Apabila GST dilaksanakan, cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada akan dimansuhkan. Kedua-dua cukai itu masing-masing pada 10 peratus dan lima peratus, adalah tinggi.

"GST pada kadar empat peratus dianggap sangat rendah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Kajian Semula Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain, berkata kerajaan akan memperoleh peningkatan perolehan kira-kira RM1.0 bilion, menerusi pelaksanaan GST.

Beliau menjelaskan bahawa pengenalan GST adalah sebahagian daripada pembaharuan keseluruhan percukaian negara.

"Menerusi GST, kerajaan akan mempunyai gandingan perolehan yang lebih baik, dan tidak terlalu bergantung terhadap cukai pendapatan dan petroleum," katanya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, membayangkan walaupun GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, ia tidak menekan harga serta mengurangkan beban pengguna, dengan makanan utama seperti beras, gula, minyak masak dan tepung, akan dikecualikan (daripada GST).

Rang Undang-undang GST dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen Disember lalu. Bacaan kedua dijangkakan pada sesi Parlimen bulan ini. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 04/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...