Monday, 29 March 2010

bharian: Bidang kemahiran perlu: Mustapa

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/29)

KOTA BHARU: Rakyat negara ini perlu melengkapkan diri dengan bidang kemahiran tertentu bagi memenuhi keperluan industri yang semakin meningkat, sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan ke arah Model Ekonomi Baru (MEB).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pihaknya mengenal pasti banyak bidang yang masih kekurangan tenaga kerja mahir termasuk teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), pengurusan tertinggi seperti kewangan Islam dan teknologi hijau.

Katanya, kerajaan menerusi MEB berharap pendapatan perkapita rakyat Malaysia ketika ini kira-kira AS$7,000 setahun akan meningkat kepada AS$15,000 setahun menjelang 2020. “MEB bertujuan menambah pendapatan rakyat Malaysia dan untuk menjadi negara maju, kita mesti mempunyai pendapatan lebih tinggi. Sebab itu kita perlu ada kemahiran dan latihan, belajar ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan seseorang itu bekerja dalam jawatan menjanjikan gaji tinggi.

“Jadi, politeknik sebagai tempat mengeluarkan pelajar pelbagai bidang kemahiran berperanan besar membantu memajukan negara kerana kita masih kurang (tenaga) dalam bidang berkenaan dan penambahan graduan politeknik dapat memenuhi keperluan industri yang semakin meningkat,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kali Pertama Politeknik Jeli Kelantan di sini, semalam.

Ketika ditanya keputusan Kerajaan Pas Kelantan melantik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, sebagai perunding dengan Petronas dan Kerajaan Pusat bagi mendapatkan tuntutan royalti petroleum negeri itu, Mustapa enggan mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan pemimpin veteran itu.

"Buat masa ini, tiada cadangan mengadakan pertemuan (dengan Tengku Razaleigh bagi membincangkan perkara itu), terserah kepada beliau yang lebih arif mengenai perkara ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, Tengku Razaleigh yang tidak ditawarkan sebarang bayaran bagi tugasan itu, diberi tempoh empat bulan bagi menjayakan perundingan berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...