Thursday, 11 March 2010

bharian: Akta Halal elak restoran guna logo tak diiktiraf

Oleh Hasliza Hassan

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/11)


Jakim dedah premis tipu pengguna beragama Islam melalui laman web

PENDEDAHAN maklumat mengenai pihak yang menyalahgunakan logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh menjadi amaran kepada pihak lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar, berkata penyebaran maklumat itu oleh Jakim melalui laman web adalah langkah memudahkan pengguna mengetahui syarikat atau premis yang diserbu kerana menggunakan sijil halal palsu Jakim serta tindakan dikenakan terhadap mereka.
Katanya, media sama ada media cetak atau elektronik juga boleh membantu Hab Halal Jakim dengan menyiarkan maklumat termasuk nama syarikat atau premis berkenaan supaya pengguna terutama umat Islam tidak terus ditipu. “Maklumat lengkap mengenai serbuan serta tindakan diambil Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim memang kita siarkan dalam laman web atas arahan Lembaga Penasihat Halal iaitu badan tertinggi yang memandu arah pensijilan halal Jakim.

“Pihak kami memang tidak ada halangan mendedahkan perkara itu kerana pengguna berhak untuk tahu dan pada masa sama, ini sebagai amaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran,” katanya.

Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim dengan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menjalankan serbuan di sebuah restoran di Dataran Sunway Kota Damansara yang mempamerkan logo halal Jakim dalam premis perniagaan tanpa mendapat sijil pengesahan halal Malaysia yang sah daripada Jakim.

Serbuan turut dilakukan di premis produk minuman terletak di Damansara Damai yang mempamerkan logo halal Jakim pada produk minuman sedangkan tidak mendapat sijil pengesahan halal Jakim.
Dalam operasi 4 Mac lalu, pemilik premis berkenaan diarah menanggalkan serta-merta logo halal Jakim yang ada dalam premis berkenaan serta merampas sebahagian besar produk minuman tertera logo halal Jakim.

Mengikut seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 penyalahgunaan logo halal Jakim/Jain dan Main, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

Pada 28 Januari lalu, Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim dengan Bahagian Penguatkuasaan kementerian melakukan serbuan di sebuah kilang tepung di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, juga atas kesalahan mencetak logo halal Jakim di pembungkus produknya.

Syarikat berkenaan pernah memohon sijil halal Jakim tetapi ditolak kerana tidak memenuhi standard pensijilan halal Jakim.

Sebelum ini, Berita Harian turut menyiarkan laporan khas mengenai kebanjiran logo halal swasta yang bukan saja mengelirukan malah menimbul keraguan terhadap status halal produk atau premis yang menggunakan sijil halal selain dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dan Jakim.

Berdasarkan maklumat laman web Jakim, kebanyakan restoran dan kopitiam beroperasi di negara ini memiliki sijil halal dikeluarkan pihak lain yang tidak mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia. Hanya Pak Hailam Kopitiam serta cawangannya dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai sijil halal Jakim.

Saimah berkata, Hab Halal Jakim sedang mempergiatkan usaha mengelak penyalahgunaan logo halal Jakim dari semasa ke semasa dan berharap tindakan tegas dapat membendung penipuan oleh pihak menggunakan logo halal palsu untuk mengaut keuntungan atau mendapat keyakinan pengguna.

Mengenai langkah tegas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan enam syarikat swasta menghentikan sijil dan logo halal kepada peniaga serta premis makanan di Selangor, katanya, tindakan itu sudah dilaksanakan di Pulau Pinang dan Sarawak.

“Keputusan supaya Jain mengeluarkan kenyataan hanya mengesahkan sijil halal dikeluarkan Jain dan Jakim saja dicapai pada Majlis Dialog Penyeragaman Pensijilan Halal Jakim dan Main pada Disember tahun lalu.

“Saya yakin negeri lain akan menyusul melakukan tindakan sama. Melalui langkah ini dan Akta Halal yang bakal diperkenalkan nanti, tidak ada pihak menyalahgunakan logo halal kerana hanya satu logo iaitu Halal Malaysia yang diiktiraf,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...