Wednesday, 31 March 2010

bharian: 'Negara akan jadi lebih kompetitif'

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengalu-alukan Model Ekonomi Baru (MEB), yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, berkata negara akan menjadi lebih kompetitif menerusi pembaharuan dan dasar baru yang lebih telus serta terbuka, sekali gus memberi banyak manfaat kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan dan perniagaan.



“GPMS menaruh harapan supaya MEB turut memberi fokus kepada bidang pendidikan, selain aspek lain kerana pendidikan modal insan dapat membantu negara menjadi aman dan makmur serta mengurangkan masalah sosial.
“Kami yakin Perdana Menteri dapat mempertimbangkan semua aspek dan kami akan menyokong penuh dasar ini,” katanya semalam.

Pengerusi Gerakan Rakyat dan Anti Korupsi Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus, berkata usaha kerajaan itu adalah perkembangan yang baik baik memacu negara ke arah mencapai negara pendapatan tinggi.

Namun, beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada soal integriti dan rasuah yang mempunyai kaitan apabila negara dan ekonomi semakin pesat.

“Ia perlu diberi fokus di samping objektif mencapai taraf negara pendapatan tinggi. Saya yakin permuafakatan semua pihak, termasuk kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, swasta dan rakyat sebagai pengguna, kita mampu mencapai apa yang dihasratkan,” katanya.

Setiausaha Agung Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abd Rahman, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan kerana graduan akan dapat menikmati banyak manfaat termasuk peluang pekerjaan.

“Ini berita gembira kerana MEB menawarkan peluang baik untuk lepasan graduan. Ia tanda positif kerana apabila ekonomi bergerak pantas, graduan mudah dapat peluang kerja atau perniagaan. Saya yakin gagasan 1Malaysia akan dapat direalisasikan kerana ada perkongsian bijak antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...