Saturday, 27 March 2010

bharian: 500 bantah akhbar Sweden hina Nabi Muhammad

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/27)

SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berarak ke Kedutaan Besar Sweden kerana membantah tindakan tiga akhbar negara itu menyiarkan karikatur Nabi Muhammmad.

KUALA LUMPUR: Lebih 500 umat Islam mewakili parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak dan berhimpun di depan Kedutaan Besar Sweden, di sini semalam, bagi membantah tindakan tiga akhbar negara itu yang menghina Nabi Muhammad.

Perhimpunan anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat itu turut disertai 18 NGO termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan bermula sebaik selesai solat Jumaat dan berakhir sejam kemudian.



Mereka berkumpul di depan Masjid Tabung Haji sebelum berarak dan membawa pelbagai sepanduk anti-Sweden ke kedutaan negara itu di Plaza OSK, Jalan Ampang. Selain takbir dan selawat, laungan anti-Sweden turut kedengaran selain bendera negara itu dibakar, tetapi tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan bersama Naib Ketuanya, Ahmad Sabki Yusof dan Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dibenarkan masuk ke pejabat kedutaan berkenaan untuk menemui dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Besar Sweden ke Malaysia, Helena Sangeland.

Ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan itu, Nasrudin berkata, memorandum itu antara lain mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelukis lakaran yang menghina Rasulullah dan tiga akhbar yang menyiarkan lukisan itu.

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana kerajaan Sweden jelas tidak belajar daripada apa yang dilakukan akhbar Denmark sebelum ini dan tindakan itu jelas menunjukkan sikap biadap serta tidak menghormati kesucian agama Islam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada penganjur perhimpunan terbabit.

Katanya, 50 anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan dan tiada kejadian tidak diingini atau sebarang tangkapan dilakukan.

Baru-baru ini, agensi berita asing melaporkan tiga akhbar Sweden menerbitkan lakaran yang menghina Nabi Muhammad atas alasan ia sebahagian daripada nilai berita dan tanda kebebasan bersuara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...