Saturday, 27 February 2010

utusan: Universiti Politeknik menjelang tahun 2015

PUTRAJAYA 25 Feb. - Kerajaan menyasarkan penubuhan sebuah Universiti Politeknik menjelang 2015 sejajar dengan langkah transformasi menjadikan politeknik peneraju pendidikan vokasional dan teknik di negara ini.

Serentak itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiga buah politeknik perintis dinaik taraf sebagai Politeknik Premier iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Politeknik Johor Bahru.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Politeknik Premier yang akan ditambah jumlahnya pada masa depan dijadikan asas kepada penubuhan universiti politeknik.

Kata beliau, penubuhan universiti itu akan meletakkan pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pasca menengah dan tinggi di bawah satu bumbung tanpa para pelajarnya perlu menyambung pengajian ke institusi lain.

''Dengan menawarkan pakej pendidikan di peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda, sistem politeknik pastinya akan menarik minat pelajar-pelajar terbaik di negara ini.

''Ia kerana bidang vokasional dan teknikal bertambah penting selaras dengan Model Ekonomi Baru yang memerlukan kepakaran lebih tinggi dan menguasai bidang-bidang baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Transformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum pelajaran vokasional dan teknik di sekolah-sekolah menengah juga akan diteliti semula bagi menjayakan proses transformasi bidang kemahiran tersebut.

Beliau yang menyarankan proses inovasi dilakukan kepada sistem politeknik berkata, institusi kemahiran itu perlu menawarkan laluan pendidikan tinggi yang lebih singkat.

''Ini sekali gus menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan utama bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian ke universiti-universiti teknikal di negara ini.

''Ia boleh dikembangkan dengan memberikan pengecualian kredit kepada lepasan sekolah menengah yang memasuki politeknik," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, bidang dan program yang ditawarkan oleh politeknik harus selaras dengan perubahan semasa antaranya mempergiatkan kursus animasi digital, reka bentuk, insurans dan kewangan.

''Bidang-bidang baru seperti bioteknologi dan nano-teknologi juga perlu dibangunkan sebagai jurusan kepakaran politeknik," katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 26/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...