Saturday, 27 February 2010

utusan: Peralihan ke sektor swasta baik untuk pertumbuhan

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Peralihan dalam pertumbuhan daripada sektor awam kepada sektor swasta semakin menjadi jelas dan ia baik untuk ekonomi Malaysia jika dilihat daripada segi pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2009.

"Pertumbuhan suku keempat menyaksikan peningkatan sumbangan daripada sektor swasta dan ia merupakan penunjuk penting peningkatan keyakinan orang ramai terhadap ekonomi," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi), Datuk S. K. Devamany.

Beliau memberitahu Bernama melalui interbiu telefon di sini peningkatan dalam kuasa membeli serta pemulihan keyakinan orang ramai telah menggalakkan aliran positif dalam ekonomi.

"Usaha yang diambil setakat ini menunjukkan ekonomi bergerak ke arah pemulihan sepenuhnya dan ini menggembirakan.

"Negara ini mempunyai masa depan yang cerah apabila model ekonomi baharu yang akan dilancarkan bulan depan, yang memberi fokus kepada sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan.

"Ini penting kerana Malaysia akan menjadi lebih kompetitif dan meletakkan negara pada asas yang betul," katanya.

Devamany juga berkata, semua langkah yang diambil ke arah melaksanakan pengukuhan pelan transformasi negara kerajaan dapat dijayakan mengikut pendekatan holistik ke arah memperkasakan sektor swasta, ekonomi pendapatan tinggi, kreativiti dan inovasi serta memperkukuhkan modal insan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia Datuk Syed Hussien Al Habshee berkata, perusahaan kecil dan sederhana perlu memberi fokus pada pembangunan pasaran eksport baharu untuk produk mereka.

"Daripada memfokus kepada pasaran tradisional, kita sekarang perlu meneroka pasaran bukan tradisional.

"Diharapkan pada suku ketiga atau keempat tahun ini, kita boleh mencapai lagi dua peratus pertumbuhan pada KDNK," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif mTouche Technology Bhd., Eugene Goh berkata, walaupun sektor telekomunikasi bukan peneraju utama dalam pertumbuhan tahun lepas, sektor itu diunjurkan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK tahun ini.

Contohnya, beliau berkata, rantau Asia menyaksikan pertumbuhan hebat dari segi pemintaan telefon pintar.

"Dua puluh peratus daripada jumlah penghantaran mudah alih ke Malaysia adalah telefon pintar. Ini satu penunjuk bahawa kemelesetan ekonomi tidak mendatangkan kesan buruk kepada negara," kata Goh.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 27/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...