Saturday, 27 February 2010

utusan: Google, bank tempatan tawar platform pembayaran baru

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Google dan enam bank tempatan memperkenalkan platform pembayaran terbaru untuk pelanggan program pengiklanan sejagat Google AdWordsnya.

Enam bank yang terlibat adalah Bank Islam, CIMB Bank, Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank dan RHB Bank.

Ketua Pemasaran Google Asia Tenggara, Derek Callow berkata, mulai hari ini pelanggan baru atau sedia ada AdWords boleh membayar kempen carian enjin pemasaran melalui perbankan internet menerusi MEPS FPX.

''Perbankan Internet semakin popular di Malaysia, pilihan pembayaran ini memberikan lebih kemudahan dan masa untuk perniagaan tempatan menguruskan dan membayar kempen mereka.

''Kami berbangga dapat menyediakan AdWords kepada pelanggan sebagai pilihan pembayaran tempatan pertama melalui MEPS FPX. Ini kerana kebanyakan pelanggan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) kami tidak mempunyai kad kredit atau tidak selesa menggunakannya bagi transaksi dalam talian,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Pelancaran Platform Pembayaran Tempatan AdWords di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat & Hubungan Awan Google Asia Tenggara, Dickson Seow.

Tambah Callow, pelanggan AdWords akan lebih menghargai fleksibiliti penggunaan mudah, penyelesaian perbankan selamat pada bila-bila masa dan di mana sahaja serta juga dapat memendekkan waktu memproses daripada 10 hari kepada sehari sahaja.

''PKS merupakan bahagian yang penting dalam ekonomi tempatan dan kami berbangga dapat menyokong serta membantu mengembangkan perniagaan mereka.

''Sebelum ini, pelanggan AdWords yang tidak menggunakan kad kredit akan menggunakan sistem perpindahan antarabangsa yang mengambil masa 10 hari untuk diselesaikan dan ini mengganggu perjalanan perniagaan mereka,'' jelasnya.

Pelanggan AdWords boleh mendaftar ke dalam akaun mereka dan memilih prabayar melalui MEPS FPX untuk memindahkan dana secara elektronik daripada akaun mereka kepada akaun AdWords.

Mereka juga boleh memilih akaun internet pelanggan atau akaun pengurusan korporat.

Google AdWords merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk mengiklankan produk terutama bagi PKS.

AdWords memaparkan proses mendaftar automatik serta murah dan membolehkan pengiklan meletakkan kempen mereka dalam tempoh 15 minit atau kurang.

Selain itu, penggunaan iklan dalam talian ini juga adalah fleksibel dan boleh di iklan atau ditarik balik pada bila-bila masa, bersesuaian dengan bajet yang ditetapkan serta pada waktu yang bersesuaian,

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan pada tahun ini bagi Google terutama untuk AdWords, Callow berkata, mereka akan meneruskan strategi promosi dan pengiklanan yang dibuat sekarang.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 25/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...