Saturday, 27 February 2010

utusan: Akta Halal dikuatkuasakan tahun depan

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Individu, peniaga serta pengusaha yang terbukti menyalahgunakan sijil halal atau mempamerkan sijil halal bukan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikenakan tindakan selepas Akta Halal dikuatkuasakan mulai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, akta tersebut kini masih dalam proses penelitian dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, tujuan diperkenalkan adalah untuk memelihara kepentingan umat Islam yang selama ini sering terkeliru dengan isu halal khususnya berkaitan dengan logo halal dan penyediaan makanan halal.

"Akta ini bagi saya amat penting dalam usaha kita menjaga maslahah umat Islam kerana peruntukan sedia ada tidak memberi hak kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dalam bentuk penguatkuasaan.

"Selepas ini jika terbukti ada pihak yang melanggar akta berkenaan mereka akan dikenakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara di sini hari ini.

Pelancaran majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya mengenai bentuk tindakan atau hukuman yang akan dikenakan berdasarkan akta itu sama ada ia dalam bentuk penjara atau denda Jamil Khir berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.

"Untuk pengetahuan penyediaan akta ini turut melibatkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pejabat Peguam Negara.

"Kami bersama-sama merangka akta ini termasuk bentuk hukuman atau tindakan yang akan dikenakan terhadap pesalah. Setakat ini kami masih belum putuskan apakah bentuk hukuman yang sesuai," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi kementeriannya.

"Kita mahu logo halal, penyediaan makanan halal, pembungkusan bahan makanan halal dan segala isu berkaitan halal dihormati oleh semua pihak dan atas faktor ini jugalah kerajaan akan memperkenalkan Akta Halal," katanya.

Terdahulu dalam ucapan semasa majlis pelancaran kempen itu beliau berkata, berdasarkan kajian oleh HighBeam Research pada tahun 2007, nilai pasaran makanan halal ialah AS$150 bilion (RM510 bilion) dan dijangka meningkat kepada AS$500 bilion (RM1.7 trilion) pada tahun 2010.

"Ini merujuk kepada prospek pengguna Muslim yang kini berjumlah 1.8 bilion dan meliputi 112 negara. Peningkatan ini, secara relatifnya adalah satu lonjakan yang sangat besar," katanya

(Sumber dari Utusan Malaysia, 27/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...