Saturday, 27 February 2010

bharian: Umat Islam perlu perkukuh perpaduan, jadi umat terbilang

PUTRAJAYA: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah bertitah umat Islam perlu mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.

Baginda bertitah tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sehubungan itu, baginda bertitah umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam kehidupan agar benar-benar menjadi mukmin yang hebat.

Baginda bertitah tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.

"Dalam mengorak langkah ke arah itu, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati," titah baginda.

Baginda bertitah al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangun ummah yang mapan dan berjaya. - Bernama


(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...