Sunday, 28 February 2010

bharian: Teori 18 tahun rungkai kemelut Melayu

Sanusi Junid

Bumiputera harus bersatu padu elak perpecahan, persengketaan di tanah air sendiri

Mengimbas kembali teori 18 tahun

PADA Sabtu 13 Februari 2010 saya dijemput untuk berucap atas tajuk 'Melayu Digugat dan Digigit' dalam satu kursus untuk pemimpin baru Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dari seluruh negara di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Persoalan yang harus saya huraikan ialah mengenai bagaimana Melayu harus bertindak apabila bangsanya digugat dan digigit.

Sebenarnya tiada orang yang berani menggugat dan menggigit bangsa Melayu kecualilah orang Melayu sendiri memaksa dirinya diperlakukan sedemikian. Lihatlah bagaimana kelab belia MAYC terbiar dan menjadi tidak sah lagi mengikut undang-undang kerana lima tahun berturut-turut tidak mengadakan mesyuarat agung.

Allah SWT telah mentakdirkan dua tokoh belia menduduki kerusi Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad daripada MAYC yang pernah menjadi Naib Presiden MAYC, dan Tun Abdullah Ahmad Badawi daripada GPMS. Hampir ada yang ketiga daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Saya perhatikan perbezaan yang ketara antara dua tokoh ini ialah, hanya Dr Mahathir kekal dengan kawan-kawan yang seangkatan dalam belia dan sedarjah dengannya di sekolah menengah dan di universiti. Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim saya kira akan selamat jika dia terus mendekati kawan-kawan lama beliau, di dalam Abim.

Seperkara lagi saya perhatikan ialah hubungan tiga tokoh ini dengan agama. Dr Mahathir tidak berpendidikan agama tetapi bertambah mendekati agama dengan bertambah tinggi kedudukannya. Abdullah berpendidikan agama dan terlalu berani memperkenalkan pendekatan baru. Anwar pula tidak berpendidikan agama, tetapi memperjuangkan agama pada masa mudanya, tetapi berubah dengan bertambah tinggi pangkatnya.

Teori 18 Tahun

Pada mesyuarat agung MAYC ke-34 pada 1988, selepas membuat perkiraan melihat tarikh penting dalam negara dan sekitar Tenggara Asia, saya telah memperkenalkan teori 18 tahun. Ketepatan anggaran tahun ini berbeza satu atau dua tahun daripada tahun yang dipilih.

1897

Sebelum 1897 saya dapati ada pergolakan berlaku di selatan Thailand. Pihak British mengetahui bahawa pergolakan ini berlaku kerana penduduk Weng, Yala, Narathiwat dan Pattani di selatan Thailand sebenarnya daripada rumpun Melayu dan tidak selesa di bawah pemerintahan Thai. Walau bagaimanapun Raja Melayu di utara Semenanjung berasa bimbang jika wilayah di selatan Thailand ini menjadi sebahagian daripada negerinya, maka kedudukan raja akan terancam. Oleh itu pada 1897, keempat-empat wilayah di selatan Thailand menjadi sebahagian daripada Thailand.

Dari 1897 pihak British sibuk mempengaruhi Raja-Raja Melayu untuk menerima penasihat bagi pemerintahan negeri. Johor adalah negeri terakhir menerima seorang penasihat pada 1914. Dengan penerimaan ini maka pada 1915 genaplah 18 tahun daripada 1897 proses penaklukan negeri Melayu dilakukan dengan cara terhormat tanpa disedari.

1915

Mulai 1915 penasihat British memperkenalkan bendera dan lagu berasingan bagi setiap negeri serta menamakan rakyat bagi setiap negeri berkaitan dengan nama negeri masing-masing. Orang Melayu pada waktu itu memanggil diri mereka bukan lagi sebagai orang Melayu tetapi sebagai orang Perlis, orang Penang, orang Perak, orang Kelantan, orang Johor, orang Selangor, orang Melaka dan lain-lain.

Mulai 1915 negeri Melayu telah mula menerima pendatang atau imigran dari China dan India kerana masalah politik dan desakan ekonomi di negara masing-masing. Walau bagaimanapun, pendatang China dan India ini tidak datang dengan cara yang dirancang oleh British.

1933

18 tahun dari 1915 iaitu pada 1933 pihak British telah mengizinkan imigran dari China dan India datang kembali ke Malaysia dengan cara yang terancang. Orang China telah dipelihara oleh British, antara lain, sebagai pemborong kecil dan pekedai runcit untuk menyalurkan hasil keluaran industri pengguna di Britain. Orang India pula, antara lain, dibawa ke Malaya sebagai buruh di estet milik British, dan The Chartered Bank yang pada waktu itu menghadapi masalah meminjamkan wang kepada pengguna dan peniaga kecil Melayu telah membawa ceti ke Malaya sebagai orang tengah dalam urusan pinjaman wang.

Oleh kerana keghairahan menang dalam Perang Dunia Kedua pihak British berhasrat untuk menjadikan Malaya sebuah koloni British yang lebih mantap seperti New Zealand, Australia dan Kanada. Wadah Malayan Union diperkenalkan dan pada 1 April, 1946 Malayan Union ditubuhkan dengan pelantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Union of Malaya pertama. Di bawah Malayan Union taraf Raja-Raja Melayu dihina ke taraf hampir sama dengan penghulu mukim. Penghinaan ini tidak dapat diterima oleh orang Melayu.

Dari 1 hingga 4 Mac, 1946 satu Kongres Melayu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. Keputusan dibuat untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk merancang tentangan terhadap Malayan Union. Dari 11 hingga 12 Mei, 1946 satu lagi perjumpaan diadakan di Istana Johor di Johor Bahru yang memutuskan supaya Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan dan bukan setakat menentang Malayan Union seperti keputusan Kongres Melayu pertama di Sultan Sulaiman Kelab.

1951

18 tahun dari 1933 iaitu pada 1951 berlaku lagi perpecahan di dalam Umno dengan berhentinya Datuk Onn Jaafar dan berlaku perebutan kuasa untuk jawatan Ketua Umno. Ahmad Fuad dikalahkan oleh Tunku Abdul Rahman. Calon lain yang kalah ialah CM Yusof. Mustapha Hussein daripada PKMM telah menarik diri daripada bertanding.

Apabila PKMM diharamkan tiga parti baru ditubuhkan oleh pemimpin PKMM, iaitu (1) Parti Melayu Semenanjung (PMS) dipimpin Bung Kahar sebagai Ketua dan Bung Isa sebagai Setiausaha Agungnya; (2) Parti Islam SeMalaya (Pa - Alif - Sin = Pas) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al Helmi dan (3) Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) pimpinan Ahmad Boestamam. Bung Kahar, Dr Burhanuddin dan Ahmad Boestamam ketiga-tiganya berketurunan dari Indonesia. Gabungan idea PMS, Pas dan PSRM adalah Nasakom ala Malaya.

Agak aneh juga kerana yang mengusahakan penubuhan Pas ialah Ahmad Fuad selepas beliau dikalahkan oleh Tunku Abdul Rahman, dalam pertandingan untuk menjadi ketua Umno, tetapi beliau sendiri tidak pernah menjadi ahli Pas, sebaliknya dilantik pihak British untuk menjadi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Umno dan sekutunya, MCA dan MIC, dalam Parti Perikatan berjaya memimpin Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957. Bersekali dengan perjanjian kemerdekaan ditandatangani juga Perjanjian Keselamatan di mana penjajah British berjanji untuk kembali mentadbir Malaya seandainya berlaku huru-hara antara kaum dalam masa 10 tahun sehingga 31 Ogos, 1967.

British mengetahui bahawa pemerintahan Malaya hanya boleh aman, dan tidak akan berlaku huru-hara, jika Umno kuat kerana didukung oleh orang Melayu. Keadaan yang melemahkan politik orang Melayu muncul pada 1962 apabila Pas mengkafirkan Umno. Tertubuhnya Malaysia pada 1963 tidak menambah kekuatan politik orang Melayu. Malah fokus terhadap masalah orang Melayu bertambah kurang apabila Malaysia yang baru ditubuhkan mula menghadapi konfrontasi dari Indonesia. Pada Pilihan Raya Umum 1964 kekuatan Umno jelas menurun. Kesan daripada perpecahan bangsa Melayu dengan isu pengkafiran ini memakan masa untuk dirasai. Malah Majlis Raja-Raja Melayu mengharamkan fatwa Dewan Ulama Pas yang mengkafirkan Umno itu kerana sudah meramalkan kesannya sebaik saja fatwa dibuat pada 1962.

1969

Rupa-rupanya kesan fatwa Pas pada 1962 itu memberi kesan pada Pilihan Raya Umum 1969. Tingkah laku DAP selepas mengetahui keputusan pilihan raya ini sungguh menghina orang Melayu. Mereka berasakan Malaya sudah menjadi milik mereka saja. Rusuhan kaum berlaku lantaran keputusan ini. Adalah jelas bahawa kelemahan politik orang Melayu seperti diketahui oleh penjajah British, menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Malangnya bagi penjajah British kerana rusuhan kaum ini berlaku dua tahun selepas tamat perjanjian keselamatan yang ditandatangani di waktu Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

Apabila maruah Melayu terancam barulah pemimpin politik Melayu bersatu semula dalam Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Tun Abdul Razak. Tetapi lambat laun pemimpin Melayu menjadi selesa semula. Kita tentu sudah faham berbagai perkembangan yang melemahkan kedudukan politik orang Melayu. Pelbagai peristiwa muncul antara lain, Pas terkeluar daripada BN, Tun Musa Hitam berlawan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam menentang Dr Mahathir dengan meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

1987

Pada 1987, Tengku Razaleigh menentang Dr Mahathir untuk jawatan Presiden Umno. Beliau beregu dalam Team B, dengan Musa yang bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden yang masih disandangnya. Tun Ghafar Baba mengalahkan Musa dan Tengku Razaleigh dikalahkan Dr Mahathir. Berikutnya Umno diheret ke mahkamah oleh 11 orang ahli dengan sokongan Team B. Umno diharamkan dan Umno Baru ditubuhkan. Tengku Razaleigh menaja Parti Semangat 46 (S46) yang didaftarkan pada 3 Jun 1989. Pada Pilihan Raya Umum 1990 Parti Semangat 46 bekerjasama dengan DAP dan Parti Rakyat dalam Gagasan Rakyat dan bekerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan parti Islam Pas, Berjasa dan Hamim. APU berjaya 100 peratus di Kelantan (24 Adun Pas dan 15 Adun S46). Pada 1993, Anwar mengorak langkah untuk menentang Ghafar dan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno sebagai sebahagian perancangannya untuk menjadi Perdana Menteri dalam masa 10 tahun masuk Umno. Anwar menang tanpa bertanding apabila Ghafar menarik diri daripada mempertahankan jawatannya. Sejak Pilihan Raya Umum 1990 sehingga Pilihan Raya Umum 1995, hubungan S46 dengan DAP menjadi renggang dan pakatan di dalam APU menjadi retak. Prestasi S46 pada Pilihan Raya Umum 1995 sungguh mengecewakan sehingga pada Mei 1996, S46 dibubarkan dan ahlinya kembali kepada Umno. Anwar memegang tampuk Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998 apabila beliau dipecat daripada kedua-dua jawatan itu kerana kesalahan rasuah dan liwat.

Ketika Anwar di dalam penjara Parti Keadilan Rakyat ditubuh. Pada Pilihan Raya Umum 1999, Parti Keadilan Rakyat, sebagai anggota dalam pakatan Barisan Alternatif bersama Pas dan DAP, menang satu kerusi saja di Permatang Pauh yang ditandingi Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Pada 5 Julai 2002, satu perjanjian persefahaman ditandatangani untuk menyatukan PSRM dengan Parti Keadilan Rakyat.

Memandang kepada semua perkembangan ini saya meramalkan 18 tahun dari 1987 iaitu pada 2005 kedudukan politik orang Melayu akan sesungguhnya menjadi terancam. Pada 2003 Abdullah mengambil alih kepemimpinan negara. Dalam satu pertemuan dengan pemimpin GPMS saya dengan sinisnya dicabar sama ada saya akan gembira jika ramalan saya atas punahnya kuasa Melayu betul berlaku seperti yang saya ramalkan. Saya menjawab: "Tidak ada dalam saluran darah saya setitik pun darah yang menderhaka kepada Umno atau kepada Melayu." Saya menegaskan teori 18 tahun ini hanya satu amaran bagi semua untuk cuba menghindarkan apa yang mungkin berlaku.

2005

Alhamdulillah pada Pilihan Raya Umum 2004 BN mendapat keputusan yang meyakinkan. Maka teori 18 tahun yang seharusnya memberi gambaran buruk pada 2005 kerana 1987 + 18 = 2005, terbuktilah sudah dapat dibantutkan. Malangnya, dengan keputusan durjana Pilihan Raya Umum 2008, teori 18 menghantui semula. Tahun berikutnya bagi Teori 18 tahun ialah 2005 + 18 = 2023. Tahun ini ialah 10 tahun selepas pilihan raya yang akan datang. Bagaimanakah prestasi BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 pada 2013? Kini saya berdepan sekali lagi dengan pemimpin GPMS. Sudah tentu soalannya ialah 'Di manakah silapnya kita?'

Kesilapan kita ialah kerana kita sudah menyimpang jauh daripada nilai murni seperti amanah, berani, disiplin, rajin dan setia iaitu sifat terpuji yang sepatutnya ada pada orang yang beragama Islam. Sifat inilah yang diketengahkan dalam semangat Bushido orang Jepun, semangat Hwarang orang Korea, semangat Jin Qing orang China, dan semangat Muru'ah orang Arab. Tetapi pemimpin Umno sekarang tidak berasa terhina seperti saat British memperkenalkan Malayan Union dan menurunkan taraf Raja-Raja kita dulu ataupun ketika DAP meminta kita serahkan pemerintahan Selangor pada waktu kita kalah banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum 1969, padahal lebih banyak kekalahan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 daripada yang diterima pada 1969. Oleh kerana kita sudah menjadi penakut, kita terima kekalahan tanpa berasa malu dan terhina. Kita bersalah kerana sudah menjadi bangsa penakut.

(Sumber dari Berita Harian, 28/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...