Saturday, 27 February 2010

bharian: SRA Jais guna buku teks baru tahun depan

SHAH ALAM: Semua Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menggunakan buku teks baru mulai tahun depan yang akan memberi penekanan lebih kepada aspek penghayatan berbanding penghafalan.

Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, berkata proses penyediaan buku teks itu kini dalam penelitian akhir melalui semakan oleh 53 pengarang buku berpengalaman dalam bidang pengajian agama.

"Kami juga sudah lantik pengarang buku yang berpengalaman untuk mengkaji semula buku teks yang sedang digunakan bagi menambah baik kurikulum pengajian, yang mementingkan ilmu praktikal untuk dihayati berbanding hanya belajar dan menghafal sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khusrin melancarkan Modul Kekeluargaan Keluarga Sakinah Selangor yang juga program kesedaran dan penghayatan kekeluargaan iaitu kesinambungan kepada kursus nikah atau kursus pasca nikah.

Merujuk kepada modul itu, Mohamed Khusrin berkata ia merangkumi lima perkara utama termasuk isu berkaitan zina, di samping berusaha menyedarkan masyarakat tentang kesan buruk akibat perbuatan itu, yang termasuk kejadian pembuangan bayi dan kelahiran bayi tidak sah taraf.

"Modul kekeluargaan ini akan diterangkan kepada masyarakat bukan sahaja di surau atau masjid tetapi juga di kilang, sekolah dan pusat pengajian tinggi di seluruh Selangor dalam usaha memberikan kesedaran bagi melahirkan generasi yang cemerlang," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohamed Khusrin berkata berdasarkan rekod kes penceraian, antara punca menyebabkan berlaku penceraian di kalangan pasangan berkahwin pada hari ini adalah akibat tanggungan hutang selepas melangsungkan perkahwinan. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 24/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...