Saturday, 27 February 2010

bharian: Sejauh mana pembaca mentafsir ‘makna’ media

Oleh Mior Kamarul Shahid

SETIAP orang mempunyai penilaian terhadap sesuatu berita atau peristiwa yang mereka baca di akhbar atau tontoni di televisyen secara berbeza. Ini menunjukkan pengertian ‘makna’ bagi seseorang terhadap sesuatu apa yang mereka baca atau dengar, adalah tidak sama. Pastinya, mereka yang membaca berita mengenai kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, mati dipercayai didera teman lelaki ibunya, disiarkan akhbar hari ini, dengan pengertian yang berbeza-beza mengikut ‘makna’ yang ada di fikiran masing-masing.

Ada orang sedih dan simpati dengan nasib kanak-kanak itu dan ada juga yang berasa marah terhadap tindakan pelakunya. Orang lain pula melihat berita itu dari sudut kegiatan jenayah dan tidak kurang juga menggelengkan-gelengkan kepala kerana melihat perbuatan itu dari segi dosa dan pahala. Ada juga orang yang melihatnya dari sudut undang-undang, manakala ahli psikologi pula melihat dari sudut yang berlainan pula.

Begitu juga dengan berita mengenai pelakon remaja, Bella berusia 15 tahun yang dikatakan ‘dilarikan’ ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia bersama kekasihnya. Bella atau Salsabila Yunan dikatakan sudah berkahwin dengan kekasihnya dan mengandung lima bulan, pulang ke tanah air pada Selasa lalu dengan disambut dengan linangan air mata ayah dan keluarga. Bagi yang membaca berita ini, pastinya mereka melihatnya dengan makna yang bercampur-baur juga. Ketika ada yang turut mengalirkan air mata, ada juga yang terdetik di fikiran mereka menganggapnya sebagai satu pengajaran dan balasan kepada Bella. Ini bererti tidak semua yang sedih kerana ada juga yang mengherdiknya kerana sikap Bella mengikut kekasihnya orang asing. Apakah kurang lelaki tempatan. Itu kata mereka yang melihat dari sudut perbezaan bangsa dan wilayah.

Dalam media, sama ada pembaca suka atau tidak mengenai sesuatu peristiwa yang disiarkan, bukanlah soal penting. Media tidak boleh mengikut segala kehendak pembacanya. Jika sesuatu berita itu dikatakan boleh menjatuh maruah seseorang, maka ia tidak boleh disiarkan, maka berita Bella juga tidak wajar disiarkan. Jika begitu, tidak ada berita yang boleh disiarkan kerana setiap berita peristiwa ada maknanya tersendiri.

Disebabkan pemahaman terhadap makna yang berbeza, tidak ada media yang boleh memenuhi seratus peratus selera pembacanya. Media sekadar menyalurkan berita berasaskan maklumat yang ada berasaskan kepentingan kumpulan sasaran pembacanya. Dalam kedua-dua kejadian berkenaan, mungkin tidak ada pihak yang menyalahkan media kerana menyiarkan berita berkenaan.

Segala aspek yang perlu diketahui oleh pembaca terjawab dengan membaca sepenuhnya berita berkenaan. Tambahan pula dalam laporan kedua-dua kejadian berkenaan, media mendapat maklumat yang berjaya menjelaskan misteri berita berkenaan dan konsisten. Seperti dinyatakan oleh ahli sosiologi dan sejarawan, sesuatu berita sepatutnya mampu memuaskan naluri ingin tahu manusia. Setiap manusia mempunyai naluri ingin tahu apa juga yang berlaku di persekitaran dan pengalaman mereka.

Itulah antara sebabnya apabila manusia bertemu dan berbual, mereka sebenarnya berkongsi maklumat. Sebaliknya, bila maklumat cuba disekat atau dianggap sengaja disekat, mereka akan membuat pelbagai andaian sendiri.

Di negara ini, media mahu berita hidup dalam kehidupan masyarakat. Sebenarnya, berita melindungi manusia dan ia mempunyai pertalian antara satu dengan lain. Dengan berita, seseorang dapat mengenal kawan atau musuh. Ini adalah salah satu daripada sistem masyarakat yang wujud hari ini.

Sebaliknya, ada juga berita yang disiarkan oleh media dianggap sebagai berat sebelah dan bias, khasnya jika sesuatu berita itu membabitkan isu politik atau personaliti tertentu. Mereka menganggap media melaporkan sesuatu berita dengan jelas dan tepat mengenai sesuatu berita lain, tetapi apabila sesuatu berita itu membabitkan personaliti politik tertentu, tiba-tiba mereka melihat media mengambil sikap tidak adil. Disebabkan begitu yakin kepada seseorang personaliti, ada kalanya mereka menganggap media melaporkan maklumat yang tidak tepat. Jika berita itu membabitkan keputusan mahkamah sekali pun, mereka akan melihat berlaku kecacatan dalam keputusan. Media melaporkan keputusan hakim kerana yakin itu adalah keputusan yang berwibawa. Tidak ada hakim yang sanggup diperalatkan oleh mana-mana pihak kerana ia membabitkan kewibawaan diri dan peribadi serta profesion kehakiman. Sebaliknya, dalam kes lain termasuk kes jenayah, pecah amanah dan sebagainya, tidak ada pula pihak yang secara terbuka mempersoalkan keputusan hakim. Jika seseorang dituduh membunuh dijatuhkan hukuman mati, semua akan bersetuju, meskipun mengakui ramai orang lain melihat keputusan itu dengan makna yang berbeza.

Dalam soal berita politik, ada pembaca yang tidak rasional dalam melihat ‘makna’, khasnya apabila keputusan mahkamah tidak seperti yang mereka harapkan.

Salah satu elemen kewartawanan ialah untuk melindungi rakyat. Rakyat bermaksud pembaca dan penduduk di sesuatu tempat atau negara. Oleh itu, jika sesuatu berita itu tidak memberi kebaikan kepada rakyat, ia tidak perlu dihebahkan. Tetapi, jika sesuatu berita itu penting untuk diketahui rakyat kerana ia mempunyai implikasi yang besar kepada agama, bangsa dan negara, ia wajib disiarkan walaupun berita itu dianggap tidak ‘popular’. Ini menunjukkan perkataan ‘melindungi’ rakyat memerlukan pemahaman dan makna yang tepat. Tidak menyiarkan berita yang sepatutnya diketahui umum kerana bimbang mendapat bantahan pihak tertentu, sebenarnya menafikan hak pembaca. Setakat ini, media arus perdana melaksanakan elemen ‘melindungi’ rakyat dengan adil berbanding dengan beberapa akhbar lain yang tidak menyiarkan berita tertentu kerana bimbang ia menjejaskan imej seseorang personaliti.

(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...