Saturday, 27 February 2010

bharian: Program belia diperkemas

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang akan memainkan peranan penting bagi menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia, umum Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai 12 kementerian yang berkaitan, bukan saja untuk memenuhi keperluan serta kehendak semasa, tetapi juga bagi menentukan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara pada masa depan.

“Jawatankuasa ini juga akan mempelopori pelbagai usaha bagi membentuk generasi muda hari ini sebagai generasi pewaris negara yang memainkan peranan penting meneruskan kesinambungan dan agenda pembinaan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan makmur," katanya dalam kenyataan, semalam.

Najib berkata, jawatankuasa itu akan dapat menyumbang pelbagai pembaharuan kepada usaha membangunkan dan memberi manfaat kepada generasi muda berumur 15 hingga 40 tahun yang sekarang berjumlah 11.4 juta orang.

“Antara pembaharuan yang akan diberi tumpuan ialah mekanisme Pengurusan Pembangunan Belia, Pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 688)," katanya.

Selain pelaksanaan menyeluruh terhadap semua dasar pembangunan belia, beliau berkata usaha juga akan dilakukan bagi meningkatkan penyelarasan dan kerjasama antara agensi berkaitan belia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan terus membantu golongan belia untuk menikmati kemajuan negara, memperkukuhkan semangat patriotisme, membudayakan pemikiran gagasan 1Malaysia dan 1Belia.

Juga membangunkan semangat keusahawanan, melahirkan belia bebas jenayah dan sama-sama meningkatkan peranan belia dalam isu keamanan dan ketahanan nasional serta memperjuangkan nilai sejagat, katanya. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...