Saturday, 27 February 2010

bharian: PM minta Gabem cari formula strategik

KUANTAN 24 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan terus berusaha mencari formula strategik dan berkesan untuk memapankan ekonomi bumiputera.

Perdana Menteri berkata, pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan dalam usaha memartabatkan ekonomi bumiputera dan diharapkan, usaha-usaha murni itu tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya diterus serta dilipat gandakan sehingga matlamat penubuhan Gabem tercapai.

''Penubuhan Gabem merupakan satu wadah perjuangan bangsa bagi memperkukuhkan ekonomi masyarakat bumiputera dalam pelbagai sektor.

''Masyarakat bumiputera masih memerlukan pembelaan dari kerajaan demi untuk menjamin kesejahteraan negera. Kerajaan ingin memastikan ekonomi masyarakat bumiputera berada pada landasan yang betul," katanya dalam kata-kata aluan pada buku cenderamata sempena pelancaran Gabem Pahang di sini, hari ini.

Majlis pelancaran Gabem Pahang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dengan disaksikan oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Pengerusi Majlis Gabem Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail.

Menurut Perdana Menteri, peranan Gabem bukanlah untuk mengambil alih tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada agensi-agensi kerajaan bagi membantu bumiputera tetapi ia merupakan satu platform untuk menyalurkan pandangan pragmatik yang boleh meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.

Beliau berkata, banyak mekanisme telah diwujudkan oleh kerajaan dalam usaha membantu ekonomi bumiputera.

''Namun, kerajaan hanya mampu menyediakan peluang dan kita sendiri yang bertanggungjawab serta harus membuat anjakan paradigma bagi menjaya dan merebut peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

''Tanpa tindakan yang terancang dan pilihan yang bijak, bumiputera akan terpinggir dalam arus pembangunan yang deras di tanah air sendiri," katanya.

Mengenai Gabem Pahang yang merupakan pelengkap kepada penubuhan badan itu di seluruh negara, Najib yang mengalu-alukan pelancaran tersebut berkata, ia merupakan satu peristiwa penting bagi bumiputera di negeri ini.

Ini kerana katanya, Majlis Gabem Pahang diberi mandat untuk menyedarkan bumiputera tentang peluang yang wujud dan mengatur perancangan strategik untuk memperkasakan ekonomi bangsa.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 25/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...