Saturday, 27 February 2010

bharian: Penduduk hulu, pedalaman Sarawak menghargai gagasan 1Malaysia

Oleh Misiah Taib

Kunjungan Najib ke Bumi Kenyalang bukti iltizam selesai agenda pembangunan luar bandar, warisi jejak bapa prihatin nasib masyarakat di pedalaman

'SELAMAT Datai 1Malaysia'. Itu ungkapan penghuni rumah panjang setiap kali bersalaman dengan Datuk Seri Najib Razak, yang mengadakan lawatan ke rumah panjang di luar bandar Sarawak dalam lawatan kerja dua hari ke Bumi Kenyalang berakhir kelmarin.

Ini menyebabkan Perdana Menteri benar-benar terharu kerana tidak menyangka jauh di hulu dan pedalaman Sarawak pun penduduknya menerima serta menghayati konsep berkenaan.

"Kami disambut bukan saja dengan tradisi kaum Iban malah dengan ungkapan 'Selamat Datai 1Malaysia'. Ini maknanya di kawasan hulu dan pedalaman Sarawak pun penduduknya turut menghayati gagasan 1Malaysia.

"Saya dapat berjumpa dengan kumpulan etnik yang ada di Sarawak. Saya juga dapat meninjau keadaan serta keperluan masyarakat setempat. Jelas sekali gagasan 1Malaysia mendapat sokongan dan dokongan kuat rakyat Malaysia di Sarawak ini," kata Najib pada akhir lawatan kerjanya.

Bagi Najib kunjungan rasmi ke Bumi Kenyalang itu bersifat menyeluruh dan memberi peluang beliau berinteraksi dengan rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman. Selain merasmikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di dua rumah panjang di Rumah Ladin dekat Lachau Ulu, Sri Aman dan Rumah Juliana, Kamidan Jaya, Awik, di Saratok, Perdana Menteri menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, Sibu, yang turut dihadiri penghuni dari puluhan rumah panjang berhampiran.

Dalam lawatan yang cukup padat itu juga beliau turut melakukan tinjauan mesra di pekan dan tebingan Sungai Simunjan Lama serta Pasar Sentral di Sibu, selain makan tengah hari bersama masyarakat Tionghua di situ, kemudian menghadiri majlis makan malam 1Malaysia di Dewan Undangan Negeri, Kuching.

Beliau bukan saja mengotakan janjinya ketika mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri, April tahun lalu, malah mewarisi jejak bapanya yang amat prihatin dengan nasib penduduk luar bandar, selain pada masa sama tidak pernah mengabaikan masyarakat bandar.

Antara lain Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, selaku Perdana Menteri kedua, pernah melawat rumah panjang Dadom di Nanga Bugau, Sungai Kajah pada awal 1972, dan pernah juga ke Kampung Pichin, sebuah perkampungan Bidayuh yang turut dikunjungi Najib sebelum ini, pada 1966.

Kekerapan Najib melawat kawasan luar bandar di Sarawak sejak mengambilalih kepemimpinan negara amat signifikan kepada penduduk luar bandar di Sarawak kerana mereka masih berdepan masalah kemudahan asas terutama bekalan elektrik, air bersih dan jalan raya, dengan lebih 90 peratus kawasan luar bandar di Sarawak masih ketinggalan.

Tidak setakat melafazkan ikrar membantu rakyat di luar bandar terutama di Sarawak dan Sabah yang masih jauh ketinggalan, peruntukan yang disalurkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga menjadi manifestasi kesungguhan Najib dalam memastikan tiada penduduk di negara ini baik di hulu, pedalaman dan luar bandar, yang tersisih daripada arus perdana pembangunan.

"Adalah menjadi hasrat saya apabila mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada April lalu untuk menyambung apa yang dilakukan pemimpin sebelum saya. Salah satu yang amat dekat di hati saya ialah pembangunan luar bandar. Allahyarham ayahanda saya, Tun Razak dikenali sebagai Bapa Pembangunan Luar Bandar. Allahyarham ayahanda saya berjalan beribu batu setahun termasuk di Sarawak.

"Berbekalkan semangat yang gigih berserta tongkatnya dia (Tun Razak), memakai bush jacket dan berdehem kalau berucap. Saya ada kelainan sedikit walaupun anaknya, saya tak bertongkat, kerana hari ini tak ada fesyen bertongkat. Kalau saya bertongkat orang akan buat kesimpulan sama ada saya tak tahu identiti jati diri saya atau saya kena strok, sebab itulah kena bertongkat.

"Saya tak memakai bush jacket kerana saya nak pamerkan simbol 1Malaysia. Jadi saya pakai baju putih. Tapi semangat saya sama dengan ayah saya. Salah satu misi yang ingin saya selesaikan ialah sebagai penutup dan pelengkap kepada agenda pembangunan luar bandar," itu ikrar Najib ketika ditemui di Rumah Radin, Lachau Ulu.

Iltizam Najib ialah mahu menyelesaikan agenda pembangunan luar bandar termasuk di Sarawak dan Sabah, dua negeri yang dianggap penting bagi kerajaan. Ini kerana dua negeri ini dianggap beliau sebagai simpanan tetap (fixed deposit) untuk Barisan Nasional (BN).

"Sarawak dan Sabah adalah simpanan tetap untuk BN selain cermin kepada konsep masyarakat 1Malaysia. Keunikan kumpulan pelbagai bangsa dan pelbagai subetnik lebih daripada 30 suku kaum di Sarawak ini amat berwarna-warni.

"Ini adalah warisan kita yang mesti kita bangga dan kita mesti pertahankan jati diri masyarakat, keunikan identiti, legasi, cara hidup yang mesti kita pulihara dan hormati. Tapi kita tidak boleh berada pada takuk lama. Kita mesti bawa perubahan dan transformasi," katanya.

Menurut beliau keperluan penduduk seperti di Lachau Ulu, Saratok dan Nanga Tada, sememangnya jauh berbeza dengan penduduk di Lembah Klang. Namun, sebagai sebuah kerajaan, ia perlu dirangkum sekali kerana bila disebut perubahan, kerajaan perlu membawa perubahan yang dituntut bukan saja masyarakat bandar malah yang dituntut masyarakat di pesisir dan pedalaman.

Justeru di bawah NKRA, kerajaan mengupas dan mengkaji secara terperinci serta mengenal pasti setiap kampung di seluruh pelosok negara serta tahu keperluan mereka. Jangka waktu sehingga 2012 ditetapkan untuk NKRA dan Perdana Menteri yakin sebahagian besar agenda perubahan dan transformasi luar bandar akan dapat disempurnakan kerajaan dalam tempoh itu.

Kesungguhan kerajaan terhadap Sarawak juga dapat dilihat menerusi peruntukan RM3.4 bilion untuk negeri itu dalam NKRA. Ia membabitkan sasaran menyediakan 95 peratus liputan bekalan elektrik dan 90 peratus bekalan air, selain 1,900 kilometer jalan raya untuk Sarawak dan Sabah.

"Kita sudah menyediakan pelan perancangan dan kaedah pelaksanaan yang rapi untuk mencapai sasaran NKRA. Tujuan saya datang ke Sarawak ialah untuk melihat sendiri kejayaan yang sudah kita lakukan selain memberi komitmen bahawa banyak lagi projek luar bandar akan kita laksanakan di luar bandar," kata Najib sambil menambah pencapaian sebenar NKRA hanya akan dapat diumumkan apabila sampai tempoh akhirnya pada 2012.

Daripada RM3.4 bilion peruntukan untuk Sarawak dalam NKRA, sejumlah RM1.3 bilion untuk menyediakan bekalan elektrik luar bandar. Najib berharap, kesungguhan kerajaan itu akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus mempertahankan kerajaan yang banyak jasa kepada mereka.

"Kita tak boleh pakai parti pembangkang yang datang ikut musim saja. Bila musim (pilihan raya) dah dekat, dia tunjuk muka dan janji. Tapi buat janji bila orang tak ada kuasa mudah buat janji, yang belum tahu lagi dia boleh tunai atau tidak.

"Kebelakangan ini dalam keadaan parti pembangkang di Semenanjung banyak perbalahan antara satu sama lain. (Ini) menunjukkan sebenarnya pemimpin mereka pun dah hilang kepercayaan kepada pemimpin besar parti pembangkang. Kalau pemimpin mereka sendiri pun dah hilang kepercayaan, jangan pula kita terpedaya dengan janji mereka, kalau mereka datang ke kawasan kita.

"Ingatlah yang penting ialah jasa kerajaan yang boleh terus membantu kita supaya sama-sama kita boleh melakar masa depan lebih baik untuk masyarakat di Sarawak terutama masyarakat di kawasan pesisir," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 25/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...