Saturday, 27 February 2010

bharian: Integrasi ekonomi agenda menteri Asean

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my


MESYUARAT Tidak Rasmi Menteri-menteri Ekonomi Asean Ke-16 selama dua hari bermula esok di Putrajaya akan menjadi medan untuk Menteri-menteri Ekonomi Asean bertukar pendapat serta membincangkan mengenai pelbagai isu strategik berkaitan integrasi ekonomi serta hubungan ekonomi dengan rakan dialog.

Sekretariat mesyuarat itu dalam kenyataannya berkata, memandangkan mesyuarat itu diadakan pada masa yang mencabar susulan keadaan ekonomi global yang masih lagi belum pulih sepenuhnya, keutamaan mesyuarat itu adalah bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan bersama negara anggota dalam menangani kesan krisis serta masa depan ekonomi negara Asean.

Katanya, antara isu yang akan dibincangkan ialah mengenai pelaksanaan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas Asean, liberalisasi sektor perkhidmatan di bawah Pakej Kelapan untuk 2010, memudahkan pelaburan di rantau ini serta cara untuk menangani jurang ekonomi di kalangan negara A.

“Menteri terbabit juga dijangka akan membincangkan strategi bagi arah tuju Asean untuk beberapa tahun akan datang dan juga selepas pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015.

“Cabaran besar yang dihadapi Asean ialah meningkatkan kemampuannya untuk terus menjadi pusat

global dalam menarik pelaburan asing,” kata kenyataan itu.

Pada 1 Januari lalu, beberapa inisiatif dilaksanakan iaitu pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) dan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Korea (AKFTA).

Ia termasuk permulaan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-India (AIFTA) dan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA).

(Sumber dari Berita Harian, 25/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...