Saturday, 27 February 2010

bharian: Dialog setengah hari majikan, amah tidak praktikal, relevan

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


KES penderaan pembantu rumah Indonesia, Nirmala Bonat oleh majikannya, Pek Hua yang kini masih menunggu keputusan Mahkamah Rayuan selepas dijatuhi hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap warga negara itu, dilihat sukar dipadamkan. Kes itu terus dijaja rakyat republik berkenaan untuk menggambarkan kekejaman majikan di Malaysia.

Dalam kes lain, pembantu rumah Indonesia, Hanni Seo dipenjara empat tahun lapan bulan selepas mengaku bersalah cuba membunuh bekas majikannya, Phang Kian Huang, di Air Itam, Pulau Pinang. Dua kes ini antara puluhan isu membabitkan majikan dan pembantu rumah di Malaysia. Cerita pembantu rumah memang pelbagai. Ini tidak termasuk pendedahan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) bahawa lebih 12,000 pembantu rumah lari daripada rumah majikan dipercayai didalangi sindiket. Mereka juga terbabit pelbagai jenayah lain.

Semua kisah hubungan majikan dengan pembantu rumah itu juga memaksa Indonesia, pembekal tertinggi pembantu rumah menetapkan pelbagai syarat bagi menjamin warga negaranya selamat daripada penderaan, penipuan dan sebagainya. Jumlah pembantu rumah asing berdaftar bekerja di Malaysia melebihi 250,000 orang. Daripada jumlah itu, hanya beberapa kes membabitkan penderaan majikan terhadap pembantu rumahnya.

Bagi memastikan hubungan dua negara itu terus kukuh, rundingan demi rundingan diadakan bagi memenuhi keperluan dan masa depan industri itu. Justeru, Kementerian Sumber Manusia, tampil mengumumkan semua majikan dan pembantu rumah dikehendaki menghadiri dialog khas di bawah kelolaan Jabatan Tenaga Kerja dalam tempoh enam bulan selepas mula bekerja, mulai bulan depan.

Sejauh mana keperluan dialog khas itu? Mampukah sesi setengah hari yang bertujuan memberi pendedahan mengenai tanggungjawab majikan dan pembantu rumah dapat menyelesaikan isu berbangkit khususnya penderaan yang dilaporkan sebelum ini. Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, dengan penuh harapan mahu program itu mengurangkan kes seperti penderaan serta seksaan oleh majikan. Pada masa sama, program itu diharap mewujudkan pembantu rumah bertanggungjawab, tidak melarikan diri dan terbabit dalam insiden kecurian atau jenayah lain.

Apa yang pasti, banyak faktor mendorong salah faham antara majikan dengan pembantu rumah. Antaranya, sikap majikan yang mungkin terlalu garang dan mahu kesempurnaan dalam setiap tugas dilakukan sedangkan sebilangan pekerja asing itu tidak memahami atau gagal menyesuaikan budaya dan berkomunikasi dengan berkesan.

Wajarkah majikan turut diheret menghadiri dialog khas itu dan sejauh mana keberkesanan misi kementerian sedangkan program diadakan hanya beberapa jam?

Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan, menganggap dialog khas separuh hari untuk majikan dan pembantu rumah tidak relevan atau praktikal serta gagal memberi kesan positif dalam usaha mengurangkan masalah jenayah antara dua pihak itu.

Sebelum pembantu rumah bekerja di sini, mereka sudah menjalani kursus induksi di negara masing-masing dengan didedahkan pelbagai aspek termasuk bidang tugas dan budaya serta pelbagai kemungkinan sepanjang bekerja di luar negara.

Jumlah pembantu rumah di negara ini melebihi 250,000 orang juga memungkinkan sukar untuk memastikan kehadiran mereka.

"Saya tidak pasti hasrat sebenar kursus itu dianjurkan. Ia sebenarnya belum tentu menjamin membendung masalah jenayah seperti majikan mendera pembantu rumah. Cuma jika kursus itu disediakan, ia hanya dianggap memberi maklumat tambahan kepada majikan dan pembantu rumah mengenai isu tertentu dan peranan masing-masing. Buku Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing yang ada itu sudah memadai untuk dijadikan panduan amah dan majikan.

"Hubungan antara majikan dan pembantu rumah ini boleh dipertingkat sendiri majikan dengan pelbagai cara seperti melayan dengan baik dan tidak menindas mereka. Amah pula perlu memahami senario di sini," katanya.

Adalah lebih bermanfaat waktu yang diperuntukkan menghadiri dialog khas itu itu diisi dengan melakukan kerja lain di rumah.

Shamsuddin berkata, jenayah membabitkan dua pihak itu juga boleh dihalang dengan kesungguhan individu itu sendiri mengawal ketika berdepan dengan situasi tertentu.

Apa yang dikesali, sebilangan ejen pekerja asing itu juga tidak jujur ketika memberi maklumat profil pembantu rumah seperti umur, status dan latar belakang ketika membuat permohonan.

Fakta itu juga boleh menyumbang masalah kerana jika menerima pembantu rumah di bawah umur akan menimbulkan masalah lain seperti kegagalan melakukan kerja dengan baik, tiada kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.

Justeru, kebergantungan kita kepada pembantu rumah asing perlu ditangani untuk tempoh jangka masa panjang bagi mengelak pelbagai masalah yang selalu dilaporkan.

"Lazimnya rakyat Malaysia mengambil amah untuk menjaga anak atau orang tua mereka, selain mengurangkan bebanan kerja di rumah. Justeru, ini hanya dapat diatasi jika ada alternatif terbaik bagi menggantikan mereka.

"Bagi saya, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua yang dikendalikan secara profesional dengan bayaran munasabah bagi menggalakkan rakyat tempatan menempatkan anak atau ibu bapa mereka yang sudah tua di premis itu tanpa menimbulkan sebarang keraguan," katanya.

Secara tidak langsung, menerusi langkah itu, kata beliau akan menyebabkan wanita yang keluar bekerja, berasa lebih tenang dan tidak risau memikirkan keselamatan serta kesejahteraan anak.

(Sumber dari Berita Harian, 25/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...