Sunday, 28 February 2010

bharian: Amalkan nilai 1Malaysia untuk negara yang bersatu: PM

PETALING JAYA: Impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang terkandung dalam konsep 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat untuk berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur.

"Dalam konsep 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan...paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya.

"Dengan perkataan lain apabila kita menerima perbezaan dalam masyarakat kita menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik...sesuatu yang menyediakan kita seumpama hasil tenunan yang berwarna warni dalam masyarakat kita...sesuatu yang sebenarnya memberi kekuatan kepada kita dan bukan sebaliknya," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Sin Chew Media Group di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Najib berkata, jika kepelbagaian diterima sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber kekuatan dan sesuatu yang unik, barulah "kita bergerak dari satu peringkat ke peringkat yang lain."

"Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan kepelbagaian kita...apabila kita meraikan kepelbagaian kita baru ia bermakna kita telah mencapai destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia...barulah kita akan berfikir dan kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat daripada pelbagai kaum di negara ini telah menyambut banyak perayaan tetapi ini dilakukan tanpa mengamalkan nilai 1Malaysia.

"Ya, pada masa-masa lalu kita telah mengadakan perhimpunan Tahun Baru Cina...kita telah mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya...kita telah mengadakan begitu banyak majlis bersama tetapi ia diraikan tanpa mengamalkan nilai dan pemikiran yang dikaitkan dengan konsep 1Malaysia.

"Mari kita bergerak ke depan ke peringkat seterusnya dan seterusnya supaya Malaysia akan menjadi...bersatu, harmoni dan makmur," katanya.

Najib berkata, impian dan aspirasi semua rakyat Malaysia perlu diambil perhatian serius bukan sahaja dalam soal perkataan tetapi juga dalam soal perbuatan dan tindakan.

"Dengan perkataan lain, kita mesti berusaha ke arah itu. Kita perlu merangsangkan semua rakyat Malaysia supaya mencintai negara ini ke arah sebuah Malaysia yang bersatu.

"Secara sedar, semua mesti bekerja dengan penuh perasaan dan komitmen, penuh perasaan kesempurnaan bagi apa yang terbaik buat kita. Apa yang terbaik bagi Malaysia...kita mesti berusaha dan kita perlu menjadikan impian itu tercapai," katanya.

Beliau berkata, setiap perdana menteri negara ini telah bekerja tanpa mengenal penat lelah mengikut cara masing-masing walaupun ketika zaman yang penuh kesukaran, bekerja ke arah menjadikan sebuah Malaysia yang lebih bersatu padu.

Sehubungan ini, Najib berkata beliau akan meneruskan usaha baik yang ditinggalkan bekas perdana menteri sebelum ini.

"Tetapi kita perlu merasionalkan apa yang kita lakukan...apa yang kita perlukan dan bagaimana kita mendapatkannya untuk sampai ke destinasi untuk menjadi sebuah negara Malaysia yang benar-benar bersatu padu," katanya. - Bernama


(Sumber dari Berita Harian, 28/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...