Saturday, 27 February 2010

bharian: Akta Halal ke Parlimen

Oleh Ridzuan Yop dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Rang undang-undang Akta Halal bertujuan memperkemas, menguatkuasa dan mempertingkatkan keberkesanan dalam melaksanakan peraturan halal akan dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata draf itu kini di peringkat akhir kajian sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk diperhalusi untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi Jun atau Julai ini.

Beliau berkata, Peguam Negara akan meneliti dan mengkaji aspek perundangan dan peraturan berkaitan akta itu bagi menentukan bentuk hukuman, peraturan, denda dan prosedur lain yang boleh dikenakan terhadap pihak yang cuba mempermainkan aspek halal dan mereka yang gagal mematuhinya.

“Selepas diluluskan, akta itu juga akan memastikan tidak ada pihak yang menyalahguna logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kerajaan jangka akta itu dapat diluluskan dan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di pekarangan Masjid Negara di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Badlishah yang juga Sultan Kedah. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu dalam ucapannya, Jamil Khir berkata, kempen 1Malaysia 1Halal penting dalam mengangkat tuntutan fardu ain hukum halal menjadi industri berimpak tinggi, sekali gus dapat melonjakkan kedudukan sosioekonomi ummah.

Beliau berkata, ia selaras misi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia yang mempunyai potensi bernilai RM8 trilion setahun di pasaran global.

Katanya, berdasarkan kajian Highbeam Research pada 2007, nilai pasaran makanan halal mencecah US$150 bilion (RM510.5 bilion) dan dijangka meningkat kepada US$500 bilion (RM1,702 bilion) tahun ini dengan prospek 1.8 bilion pengguna Islam di 112 negara.

“Peningkatan ini adalah lonjakan yang sangat besar, sekali gus mampu menjadikan industri terbabit amat penting untuk diterokai dan dikuasai,” katanya.


(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...