Saturday, 27 February 2010

bharian: 3 politeknik premier

Oleh Azrina Ahzan

MUHYIDDIN menerima buku ’Hala Tuju Tranformasi Politeknik’ daripada Mohamed Khaled pada majlis pelancaran Tranformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sambil diperhatikan Saifuddin (kiri).

Universiti politeknik ditubuh 2015: Taraf premier pelopori usaha tawar pengajian teknikal kepada pelajar antarabangsa

PUTRAJAYA: Tiga politeknik semalam menerima taraf premier yang menjadi asas ke arah penubuhan universiti politeknik menjelang 2015.

Politeknik itu ialah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor; Politeknik Ungku Omar, Perak dan Politeknik Johor Bahru, Johor.

Watikah Politeknik Premier itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Politeknik Premier itu berperanan menjalankan program dalam bidang tujahan, selain mempelopori usaha menawarkan program pengajian berbentuk teknikal kepada pelajar antarabangsa, terutama di kalangan negara membangun.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata transformasi berkenaan boleh dijayakan melalui inovasi sistematik bagi menambah nilai kepada proses dan keberhasilan pendidikan serta latihan politeknik.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan universiti politeknik akan menjadi pelengkap kepada pendidikan vokasional dan teknik di peringkat pengajian tinggi.

"Universiti politeknik ini akan membolehkan pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pasca menengah dan tinggi di bawah satu sistem politeknik tanpa perlu menyambung pengajian ke institusi lain," katanya.

Beliau berkata, pendidikan aliran itu dapat melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menjadi penyumbang kepada penjanaan kekayaan baru negara.

“Peningkatan kualiti pendidikan berteraskan kemahiran mesti diperkasakan dan dijadikan agenda utama dalam memenuhi keperluan modal insan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, inovasi dalam pengurusan pendidikan politeknik selain mampu menarik minat pelajar terbaik mengikuti pendidikan vokasional dan teknik, ia juga boleh dikembangkan dengan memberi pengecualian kredit kepada pelajar lepasan sekolah menengah yang memasuki politeknik.

"Langkah menawarkan pengecualian kredit seperti diamalkan ketika ini akan membolehkan lulusan politeknik mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam tempoh lebih singkat.

"Ini akan menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan utama pelajar yang berhasrat mengikuti pengajian di universiti teknikal," katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, berkata lebih banyak Politeknik Premier akan dipilih pada masa depan jika memenuhi kriteria kecemerlangan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada Politeknik Premier terbabit akan dinaik taraf sebagai universiti politeknik kerana ia bergantung kepada pencapaian semua politeknik itu menjelang 2015.

"Tumpuan utama kementerian ketika ini untuk meningkatkan jumlah kemasukan di peringkat diploma di semua 27 politeknik daripada 60,840 orang pada 2009 kepada 87,440 orang pada 2012.

(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...